Last updated Tuesday, May 31, 18:43
Bertempat di Universiti Kolej Yayasan Pahang, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) telah menganjurkan Kursus Kejurulatihan Bolasepak Akar Umbi pada 28 dan 29 Mei lalu.
Kursus ini telah disertai seramai 23 peserta, dengan 16 daripadanya adalah dari Pahang, 3 dari Terengganu manakala selebihnya adalah dari Negeri Sembilan, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
Instruktor berpengalaman Encik Zahiruddin Amiruddin telah mengendalikan kursus, dibantu oleh Cik Azrena Zaireen Ahmad Zahudi.
“Objektif utama kursus adalah agar di akhir kursus nanti, para peserta dapat menguasai empat kemahiran asas dalam bolasepak dan untuk diajar atau diterapkan pula di akademi/komuniti masing-masing
“Bagi bakal jurulatih, mereka juga diketengahkan dengan proses kejurulatihan (plan, organize and deliver) untuk para pelatih, tetapi kursus ini sebenarnya bukan semata-mata untuk jurulatih dari akademi atau yang baru mahu berkecimpung jadi jurulatih, ia sesuai untuk semua.
“Ini kerana FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mahu mendidik segenap lapisan masyarakat termasuklah pendidik, ibu bapa, penyokong dan lain-lain dengan 4 kemahiran asas yang disebutkan, supaya anak-anak di peringkat akar umbi diterapkan nilai bolasepak yang baik.
“Seperti yang kita selalu dengar, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Penguasaan kemahiran asas akan membantu melahirkan pemain yang baik,” kata Zahirudin.
Kesemua peserta yang menamatkan kursus telah menerima sijil penyertaan dari Pengarah Teknikal PBNP, Haji Tajuddin Nor.