Last updated Tuesday, Jan 04, 17:26
Sri Pahang FC berbesar hati mengumumkan Fandi Othman, David Rowley, Sean Gan Gianelli dan Muhammad Faizal Mohd Arif sebagai rekrut terbaru bagi musim 2022.
Fandi membawa bersama pengalaman luas di pentas antarabangsa bersama Harimau Muda A dan domestik di mana dia pernah beraksi bersama beberapa pasukan Liga Malaysia antaranya Felcra, Selangor, KL City dan terbaru Kedah Darul Aman pada musim 2021.
Kehadiran pemain berusia 29 tahun ini sekaligus mengisi kekosongan di posisi pertahanan kiri yang ditinggalkan oleh Fazly Mazlan dan Faisal Rosli.
David Rowley pula merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia yang diperkenalkan ke Liga Malaysia pada tahun 2018 oleh PDRM FC, dan kemudiannya telah beraksi bersama Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah.
Pemain berusia 31 tahun ini merupakan tonggak skuad Penang FC yang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga musim lalu.
Turut berpengalaman beraksi di Australia, Itali dan Jerman, kehadiran David Rowley dilihat dapat menambah keampuhan di barisan tengah pasukan.
Manakala Sean Gianelli adalah lepasan Akademi Johor Darul Takzim (JDT IV) dan menyertai KL City pada musim 2020, sebelum dipinjamkan ke Uitm FC pada 2021.
Di sebalik gagal menyelamatkan skuad The Lion Troops daripada tersingkir ke Liga Premier, pemain berdarah kacukan Malaysia-Itali ini yang turut boleh bermain di posisi sayap merupakan salah seorang pemain terbaik Uitm FC musim lalu.
Dia kini dia bersedia meneruskan prestasi cemerlangnya bersama skuad tok gajah.
Sementara Faizal pula adalah pemain pertahanan kanan yang telah bersama Uitm FC sejak 2016 ketika bermain di Liga IPT dan menjadi tonggak yang membantu mereka layak Liga FAM, Liga Premier seterusnya Liga Super.
Ciri kepimpinan tinggi dalam diri pemain berusia 26 tahun ini menyaksikannya diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan pada musim lalu.
Selepas enam tahun, dia memilih untuk mencuba angin baru dalam karier.
Selamat datang Fandi, Rowley, Sean dan Faizal ke dalam keluarga besar Sri Pahang FC!