Last updated Wednesday, Jun 22, 21:44
Akademi Bolasepak Rhino yang membawa cabaran Malaysia di Piala Yakoma 2022 pada 18 dan 19 Jun lalu, pulang dengan pencapaian mengagumkan dari bumi Vietnam apabila menamatkan saingan di tempat keempat.
Bertanding dalam kategori B-11, pemain-pemain cilik Rhino kendalian Rostam Hassan mempamer sengat dan mencuri perhatian ramai menerusi permainan menghiburkan yang disajikan sepanjang dua hari kejohanan berlangsung.
“Syukur kita berjaya untuk menepati sasaran melepasi peringkat kumpulan, kita tidak kalah dalam lima perlawanan peringkat kumpulan, hanya tewas di separuh akhir dan mengakhiri cabaran di tempat keempat dari 24 pasukan, yang mana ia satu rekod yang sangat baik.
“Ini adalah kali ketiga Rhino terlibat dengan kejohanan luar negara, kita tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Kita muncul juara dalam satu kejohanan di Singapura pada 2017 dan kemudian layak ke pusingan kedua pada 2019 juga di Singapura.
“Kejayaan ini hasil dari kerjasama dan pengorbanan ibubapa. Tanpa ibubapa, tak jadi semua ni. Terima kasih juga kepada PBNP, Sri Pahang FC, Kerajaan Negeri Pahang, penaja, penyokong dan semua yang terlibat memberi sokongan kepada usaha Rhino,” ujar Rostam.
Sebagai makluman, Rhino merupakan akademi bolasepak yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Negeri Pahang, mempertaruhkan ubi-ubi muda yang bakal menjadi masa depan bolasepak negeri ini.
Tambah Rostam lagi, penampilan Rhino di Vietnam turut mendapat perhatian serta pujian daripada ‘boss’ besar dan pengasas kejohanan, Yakubu Oma Abdulrazak dan juga pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.
“Selain bermain perlawanan Kumpulan B, kita juga ada bermain satu perlawanan tambahan menentang akademi nombor satu di Vietnam (Hai Duong) yang tidak dikira mata. Kita tewas perlawanan itu 0-3. Perlawanan itu turut disaksikan Encik Yakubu, dan juga beberapa pasukan lain.
“Ketika majlis penyampaian hadiah, Encik Yakubu memberitahu Rhino adalah antara pasukan yang mencuri tumpuan beliau dan menghadiahkan pingat gangsa kepada kepada Rhino. Satu-satunya pasukan di tangga keempat yang mendapat penghormatan.
“Malah apabila kita bermain, kita juga mendapat sokongan daripada pasukan-pasukan lain. Inilah kenangan istimewa yang dapat sepanjang berada disini. Bukan piala yang kita kejar tetapi adalah pengalaman dan nilai eksklusif.
Di kejohanan 7-sebelah tersebut, Rhino membuka kempen dengan penuh bergaya menewaskan Hiep Hoa FC 9-0 sebelum diikat 2-2 oleh ACF Thai Nguyen dalam perlawanan kedua.
Rhino kemudiannya menewaskan Star Kids Cam Pha 8-0, seri 1-1 menentang Vietsoccer dan menamatkan saingan kumpulan dengan kemenangan 4-0 ke atas Golden Ball.
Di peringkat separuh akhir, Rhino tewas 1-3 kepada satu lagi wakil tuan rumah, Mang Non VP.
Kredit foto : SLP Studios