Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Azam Mahu Kemenangan Menjadi Permulaan Kebangkitan SPFC

Last updated Sunday, Apr 24, 21:31

Azam

Kemarau kemenangan akhirnya ternoktah, pada aksi keempat Liga Super, dengan Penang FC menjadi mangsa pertama amukan Tok Gajah.

Satu jaringan masing-masing oleh Nor Azam Azih, David Rowley dan Sean Gianelli memastikan tiga mata pertama buat Sri Pahang musim ini, disaksikan penyokong sendiri di Stadium Darul Makmur.

Ia jelas bukan kemenangan yang mudah, tatkala Penang FC pada satu ketika berjaya mengimbangi permainan dan berusaha sebaik mungkin untuk setidak-tidaknya membawa pulang satu mata.

Bagi Nor Azam, dia mengakui kemenangan pertama ini melonjakkan moral dan keyakinan pemain sambil berharap ia menjadi permulaan untuk kebangkitan pasukan di dalam kempen Liga Super 2022.

“Kita tahu tidak boleh buat silap sekali lagi, ini aksi ketiga berturut-turut di tempat sendiri, agak rugi kalau cicirkan mata lagi. Kita turun dengan satu mindset, hanya mahu menang dan saya gembira dapat menjaringkan gol seterusnya membantu pasukan meraih kemenangan.

“Semua pemain memberikan sepenuh komitmen, semua bahagian berfungsi dengan cukup baik, sedaya upaya mengurangkan kesilapan kerana kita semua mahu merasai nikmat kemenangan dan berjaya melakukannya.

“Kita juga sedar Penang FC bukan lawan mudah, mereka juga dalam situasi terdesak, tetapi malam ini kita bermain lebih baik, ketika bertahan mahupun menyerang, saya harap kemenangan ini menjadi permulaan untuk kita terus mencatat lebih banyak keputusan positif selepas ini,” ujar Nor Azam kepada sripahangfc.com.my.

Dalam aksi tersebut, Nor Azam meledak jaringan pembukaan pada minit ke-28 menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Khatul Anuar Abd Jalil.

Penang FC mengikat kedudukan 1-1 sejurus sebelum tamat separuh masa menerusi Sukri Hamid, namun tandukan David Rowley pada minit ke-64 dan tolakan mudah pemain gantian Sean Gianelli pada minit ke-73 memastikan kemenangan buat Sri Pahang.  

Loading...