Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Azwan Tidak Rela Tercicir Mata Buat Kali Ketiga

Last updated Thursday, Apr 14, 19:11

Setelah dua kali dinafikan kemenangan menerusi keputusan kontroversi pengadil sebelum ini, bek kanan Azwan Aripin berharap tuah akan bersama pasukan Sri Pahang FC apabila turun melayan kunjungan Melaka United pada Jumaat. 

Azwan tidak rela pasukan tercicir mata sekali lagi dan berharap dapat membantu pasukan mengecap kemenangan pertama dalam saingan Liga Super 2022. 

“Sepatutnya kita boleh menang kedua-dua perlawanan lalu, pasukan telah bermain baik seperti yang semua tahu kita dinafikan tiga mata bukan kerana silap kita, tetapi tiada guna kita mengeluh. 

“Kami semua sudah move on, saya harap penyokong pun sama, yang penting adalah mendapatkan tiga mata dalam perlawanan seterusnya. 

“Ketika ini, moral dan keyakinan dalam pasukan di tahap yang baik, semua bersemangat mahu memburu kemenangan pertama, sebagai hadiah buat penyokong dan mahu kembali meletakkan SPFC di landasan yang betul,” kata pemain kelahiran Kelantan itu. 

Azwan berpendapat walaupun Melaka United tidak mengharungi prestasi yang baik setelah hanya mengutip satu mata dalam empat perlawanan, pasukan itu juga akan tampil dengan semangat tinggi kerana turut terdesak memburu kemenangan pertama.

“Seperti yang coach (Christophe Gamel) selalu ingatkan, kita kena hormat semua pasukan. Melaka juga seperti kita belum menang jadi ia akan menjadi perlawanan yang sengit. Saya dan rakan sepasukan perlu memberi fokus penuh dan tiada alasan untuk lalai. 

“Mereka ada rangkaian serangan terbaik dalam Liga Malaysia seperti Ifedayo, Emanuel Oti dan lain-lain yang mana jika kesemua mereka diturunkan boleh menjadi cukup berbahaya. Jadi kita perlu pastikan tiada kesilapan dilakukan,” ujarnya lagi.

Azwan yang bermain dua perlawanan awal menentang Manjung City (Piala FA) dan Kedah Darul Aman sebagai pemain gantian, diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang PJ City pada minggu lalu.

Loading...