Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Bangkit Tok Gajah Bangkit!

Last updated Thursday, Nov 25, 22:26

Kegagalan berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Piala Malaysia menyaksikan kita menutup buku 2021 lebih awal, tahniah kepada semua pasukan yang meneruskan kemaraan dan masih kekal bersaing. 

Bagi kem Sri Pahang, ia pastinya bukan penamat yang kita semua harapkan lebih-lebih lagi setelah meletakkan harapan yang tinggi mencipta gemilang di Piala Malaysia untuk menebus kekecewaan di kempen Liga Super yang berlangsung suram. 

Apa sekalipun, terima kasih diucapkan kepada penyokong setia pasukan yang tidak putus memberikan sokongan sejak dari perlawanan pertama menentang Selangor FC (Liga Super) pada bulan Mac sehinggalah aksi terakhir Piala Malaysia menentang KL City pada 10 November lalu. 

Tidak lupa penghargaan khusus buat penyokong yang hadir ke stadium meskipun ketika itu pasukan sudahpun tersingkir daripada saingan dan beraksi hanya untuk melengkapkan jadual perlawanan. 

Di sebalik musim yang hambar – menamatkan Liga Super di tangga kesepuluh dan gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia - kredit tetap wajar diberi kepada ketua jurulatih, Dollah Salleh, barisan kejurulatihan serta kesemua pemain dan pegawai pasukan.

Mereka telah sedaya upaya memberikan yang terbaik demi skuad tok gajah yang kita sayangi.

Dollah kembali mengemudi pasukan setelah dua kekalahan atas kepercayaan yang diberikan pihak pengurusan dan berjaya menyelamatkan Sri Pahang daripada tersingkir ke Liga Premier. 

Jangan kita lupa, masalah utama dihadapi Dollah hampir sepanjang musim adalah kecederaan pemain tonggak yang silih berganti lantas menyukarkannya untuk mendapatkan kesebelasan terbaik dalam setiap perlawanan. 

Dari sudut positif, beliau telah memperkenalkan beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden ke dalam skuad utama antaranya Syaahir Saiful Nizam, Hasnul Zaim Zafri dan Sharul Nizam Nadzir yang pastinya mempunyai masa depan yang cerah jika terus digilap potensi mereka seterusnya menjadi antara asset pasukan. 

Tirai 2021 sudahpun berlabuh, fokus kita adalah musim 2022 dan sudah tentu, kita boleh meletakkan keyakinan bahawa pihak pengurusan juga sudah memulakan kerja di balik tabir untuk menyediakan sebuah pasukan yang lebih mantap. 

Apa yang diharapkan, penyokong semua, rodong-rodong akan terus menyokong segala usaha penambahbaikkan dan kepercayaan skuad tok gajah akan tampil lebih kompeten dan bangkit sebagai sebuah pasukan yang jauh lebih baik dalam Liga Malaysia 2022.

Loading...