Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Beraksi Kurang Seorang Pemain Beri Kelebihan Besar Kepada Sarawak United

Last updated Friday, May 13, 14:03

Kekecewaan jelas terpancar di wajah Christophe Gamel, setelah Sri Pahang tewas buat kali keempat dalam saingan Liga Super musim ini. 

Sekali lagi, kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri tidak dimanfaatkan sebaik mungkin apabila kita membenarkan Sarawak United bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1.

Jaringan Manuel Hidalgo di penghujung babak pertama dipadam oleh Nur Shamie Iszuan Amin dan penalti Uche Agba di separuh masa kedua sekaligus memberi kemenangan kedua buat skuad kendalian B.Sathianathan musim ini. 

Pada perlawanan tersebut, Sri Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh hampir 50 minit setelah pemain pertahanan Muslim Ahmad dilayangkan kad merah kerana mengasari Francis Kone. 

Muslim sebelum itu masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-23 menggantikan pertahanan import Johan Martial yang mengalami kecederaan. 

Gamel mengakui kekurangan seorang pemain telah memberi kelebihan yang besar kepada Sarawak United untuk menterbalikkan keputusan perlawanan. 

“Saya sebenarnya tidak menjangka kesilapan seperti ini dari seorang pemain berpengalaman, yang meletakkan pasukan dalam bahaya. Ia bukan normal untuk seorang pemain senior membunuh perlawanan seperti itu,  saya secara jujur berpendapat kelab ini dikhianati," ujar Gamel.  

Malah Gamel juga menegur beberapa keputusan pengadil yang dianggapnya sebagai berat sebelah.  

"Seperti saya pernah katakan pada perlawanan ketiga dulu, kita dirompak sekali lagi. Saya sudah penat untuk mengatakan ini berulang kali, bawa masuk VAR bawa masuk pengadil FIFA.

"Berlaku double standard apabila dua kesilapan yang sama,  tapi keputusan pengadil adalah berbeza. Dua kesilapan sama tapi bagi dia penalti, bagi kita tidak,  ini tidak adil dan saya sudah tidak boleh bertolak ansur. Sesuatu perlu dilakukan," kata Gamel.  

Bagaimanapun Gamel mengakui perkara seperti ini mungkin tidak diperkatakan jika Sri Pahang memanfaatkan deretan peluang jaringan yang tercipta. 

"Ya seperti biasa kita mencipta peluang tapi tidak menyudahkan. Kalau tiga atau empat percubaan masuk dan menghasilkan jaringan,  mungkin tiada perdebatan mengenai pengadil ataupun kad merah. Jadi kita juga buat silap, ini bukan silap pengadil tapi silap kita."

Loading...