Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Christophe Gamel : "Kami Dirompak!"

Last updated Friday, Apr 08, 12:32

Tewas dalam aksi sulung Liga Super 2022 kepada Kedah Darul Aman memang menyakitkan, tetapi Christophe Gamel memberi kredit kepada barisan pemainnya yang disifatkan telah bermain dengan lebih baik berbanding pasukan lawan.

Pengendali dari Perancis itu berpendapat anak buahnya telah memberikan segala yang terbaik untuk setidak-tidaknya mendapatkan keputusan seri di Alor Star, namun mengakui ketiadaan penyudah serta beberapa keputusan tidak tepat daripada pengadil membuatkan Sri Pahang berputih mata.    

“Apa yang boleh saya kata, kita dirompak. Ya dengan jelas sekali. Secara jujur, saya tidak faham kenapa tiada VAR (di Liga Malaysia) sedangkan ia digunakan di mana-mana (liga lain). 

"Kita boleh lihat setidak-tidaknya tiga jaringan kita tidak dikira, termasuk pada minit akhir apabila pemain mereka menanduk keluar bola yang sudah melintasi garisan gol sepenuhnya.

“Tetapi saya tahu tiada guna merungut, saya mahu lupakan perlawanan ini dan melihat ke depan kerana ia tetap penting untuk kita menghormati keputusan pengadil dan juga peraturan. Kita fokus perbaiki apa yang lemah, khususnya sentuhan penyudah kerana kita tidak boleh menang jika tidak menjaringkan gol.”

Pada aksi di Stadium Darul Aman itu, kedua-dua pasukan menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan sebelum Kedah meraih jaringan tunggal mereka menerusi pemain pertahanan Rodney Celvin pada minit ke-55.

Skuad tok gajah memberikan tentangan sengit dan tampil mengancam ketika 30 minit terakhir perlawanan namun jaringan dilakukan oleh Johan Martial dan David Rowley dibatalkan.

Gol Martial dibatalkan atas alasan kekasaran yang tidak diketahui, manakala gol Rowley pula kerana didakwa offsaid sedangkan dengan jelas ada seorang pemain Kedah di hadapannya.

Ketika minit akhir, Nur Izzat Che Awang menyambut bola sepakan gunting Mamadou Samassa dan rembatannya dilihat telah melintasi garisan gol sebelum ditanduk keluar pemain Kedah.

“Keputusan tidak menyebelahi kita, tetapi kita bermain cukup bagus secara defensif, berdisiplin, kita berdepan pasukan yang kuat secara ofensif. Pada separuh masa kedua, saya merubah sedikit taktikal dan kita dapat memegang bola, mencipta gerakan, tetapi sepertimana ketika perlawanan menentang Manjung, masalah kita adalah penyudah.”

Sri Pahang akan turun menentang PJ City pada Sabtu ini di Stadium Darulmakmur.

 

Loading...