Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Daniel berharap akan terus mendapat peluang.

Last updated Wednesday, Sep 01, 15:28

Penjaga gol Daniel Wafiudin berterima kasih kepada pengendali Dollah Salleh yang memberi kepercayaan kepadanya beraksi dalam aksi menentang KL City pada Jumaat, sekaligus menandakan penampilan sulungnya dalam kancah Liga Super musim ini.
 
Walaupun bolos dua gol dalam aksi tersebut, prestasi Daniel sepanjang permainan terutama di separuh masa pertama mendapat pujian penyokong yang menyifatkan pasukan ini sudah ada 'back-up' berkualiti di gawang.
 
Daniel enggan terbuai sebaliknya mengakui masih perlu banyak belajar dengan dua seniornya - Helmi Eliza dan Zarif Irfan - dan berjanji tampil dengan prestasi lebih baik jika diberi peluang sekali lagi.


->> Muat turun aplikasi SriPahangFc di Google Play Store dan App Store untuk tidak terlepas berita dan perkembangan terkini kelab.

 
"Syukur penantian untuk membuat penampilan dalam kesebelasan utama menjadi kenyataan, lebih manis ini aksi pertama saya di Liga Super sepanjang karier saya.
 
"Sebelum ini saya pernah bersama Pahang dari 2016-2018 tetapi sebagai penjaga gol ketiga dan tak dapat beraksi.
 
"Memang agak berdebar tetapi saya gembira dapat beraksi dengan baik, cuma saya minta maaf tidak dapat membantu pasukan menang dalam penampilan sulung.
 
"Saya berharap akan terus mendapat peluang untuk membuktikan kebolehan tetapi saya tahu saya kena bekerja keras, bukan mudah kerana di atas saya ada dua penjaga gol yang berpengalaman dan berkualiti," ujar Daniel yang berasal dari Rompin.
 
Daniel tidak berselindung di dalam mengatakan dia menyimpan hasrat untuk menjadi penjaga gol utama Sri Pahang satu hari nanti, dan jika ada rezeki mahu menyarung jersi Harimau Malaya.
 
"Saya percaya kepada proses, ketika ini saya berusia 24 tahun, sasaran saya mungkin pada usia 25 atau 26 dapat menjadi penjaga gol utama pasukan dan selepas itu cuba memenangi tempat dalam skuad kebangsaan.
 
"Itu impian saya dan untuk itu saya perlu memburu lebih banyak minit permainan," katanya.

Sebagai rekod, Daniel pernah beraksi bersama skuad Piala Presiden Pahang pada 2015 dan diserap ke skuad senior setahun kemudian, sebelum berhijrah ke UKM FC pada 2019.

Loading...