Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Diberi Kebebasan, Dollah Percaya Rodriguez Akan Lebih Menyengat

Last updated Thursday, Aug 04, 14:07

Prestasi semasa penyerang import, Steven Rodriguez bukan sahaja menceriakan penyokong, tetapi ketua jurulatih Dato' Dollah Salleh turut mengukir senyuman lebar. 

Ketika menewaskan Kedah Darul Aman pada Isnin lalu, Rodriguez menjadi wira dengan meledak dua jaringan - satu melalui tendangan lob dari luar kotak penalti dan satu lagi merembat masuk bola dari dalam kotak penalti. 

Ia adalah jaringan keempat peribadinya dalam tiga perlawanan, setelah turut menjaringkan gol ketika menentang Penang FC dan Selangor FC. 

Dollah berkeyakinan tinggi, sentuhan penyerang dari Colombia itu, akan terus bertambah baik dan dia mampu menjadi salah seorang penyerang import terbaik Liga Malaysia jika dia dapat untuk bermain sepertimana yang dia mahu. 

"Ini yang kita tiada selama ini, sentuhan penyudah. Pertama kali penyerang kita menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan, faktornya adalah kerana kita bagi dia kebebasan, tak kongkong dia bermain dengan cara sebelum ini. Itu yang dia dapat kebebasan, kita biarkan apa yang dia nak buat.

“Kita hanya bagitau buat itu dan ini sahaja, tetapi dalam padang dia yang buat sendiri apa yang dia mahu. Dia tidak berasa tertekan. 

“Dengan jaringan ia bukan sahaja memberi kegembiraan kepada semua pemain, tetapi pegawai dan staf pasukan sendiri pun bersemangat dengan kebangkitan ini. Sudah tentu ini akan menjadi satu tonik untuk Rodriguez menjaringkan lebih banyak gol,” ujar Dollah.

Fokus Dollah ketika ini terarah kepada proses pemulihan kecergasan dan memantapkan mental pemain, setelah bermain tiga perlawanan dalam 10 hari, apatah lagi tiga aksi seterusnya bermula 9 Ogos akan menyaksikan Sri Pahang bermain di tempat lawan. 

Loading...