Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Dollah Tuntut Pemain Kekalkan Disiplin Sama

Last updated Thursday, Aug 04, 00:35

Kemenangan ke atas Selangor pada 27 Julai lalu bukan alasan untuk mendabik dada, sebaliknya pengendali pasukan, Dollah Salleh mahu ia menjadi tonik untuk para pemain meneruskan kebangkitan dalam kancah Liga Super.

Menurut Dollah, fokus utama adalah terus mendaki carta liga, tatkala kedudukan di tangga kesembilan ketika ini baginya masih bukan kedudukan yang boleh dibanggakan.  

“Ketika menentang Penang, faktor kecergasan menyebabkan kita hilang fokus pada minit akhir. Tetapi apabila menentang Selangor, saya lihat ada peningkatan ditunjukkan. 

“Pemain-pemain juga begitu berdisiplin, melaksanakan arahan taktikal dan strategi yang diterapkan dengan baik. Kita bukan sahaja menang, tetapi buat pertama kali kita tidak bolos dalam saingan liga musim ini.

“Apa pun kita tidak boleh cepat berpuas hati, disiplin ini perlu dikekalkan dalam perlawanan seterusnya menentang Kedah. Kita sedar walaupun Kedah juga tidak konsisten dan tidak menang dalam lima perlawanan di tempat lawan, mereka pastinya tidak mahu terus cicirkan mata. 

“Saya berharap pemain-pemain dapat memberikan lebih lagi berbanding ketika menentang Selangor, kerana kita masih boleh mengejar pasukan-pasukan di atas kita dan cuba menamatkan saingan liga di kedudukan yang sebaik mungkin,” kata Dollah kepada sripahangfc.com.my.  

Dollah juga berharap kelebihan bermain di tempat sendiri dapat dimanfaatkan untuk meraih tiga mata. 

Apatah lagi selepas aksi menentang Kedah, Sri Pahang akan mengharungi cabaran getir bermain tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan apabila menentang PJ City di Petaling Jaya pada 9 Ogos; Melaka United di Hang Jebat pada 13 Ogos dan Penang FC di Bandaraya pada 18 Ogos.

Loading...