Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Empat Lagenda Bolasepak Pahang Bergelar Dato'

Last updated Thursday, Aug 04, 01:32

Sri Pahang FC merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada ketua jurulatih, Dollah Salleh dan penolong jurulatih, Haji Ahmad Yusuf di atas pengurniaan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Dato'.

Masing-masing menerima darjah kebesaran tersebut daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-63 baginda di Istana Abu Bakar, Pekan pada Rabu.

Turut menerima kurniaan darjah kebesaran D.I.M.P adalah Zainal Abidin Hassan dan Yunus Aliff. Sumbangan besar kesemua empat lagenda ini kepada bolasepak Pahang khususnya sangatlah besar dan menerima pengiktirafan yang wajar.

Sebagai rekod, ketika zamannya sebagai pemain, Dollah menyarung jersi Pahang selama enam musim dari 1991 hingga 1996 yang juga menjadi pasukan paling lama diwakilinya dalam kancah Liga Malaysia.

Sebagai jurulatih/pengurus pasukan, beliau telah bersama pasukan Pahang pada 2010-2013 dan 2017 hingga sekarang.

Manakala Haji Ahmad Yusof pula berbakti kepada bolasepak Pahang selama 17 tahun dari tahun 1984 hingga menoktahkan kariernya pada 1995. Beliau telah bersama barisan kejurulatihan Sri Pahang bermula 2020.

Zainal Abidin bersama Pahang sebagai pemain sebanyak dua kali pada 1983-1984 dan 1991-1996 sebelum kembali sebagai jurulatih pada 2004 yang mana beliau membawa Pahang muncul juara edisi sulung Liga Super selain membawa Pahang memenangi Piala Malaysia pada 2013 dan 2014.

Sementara Yunus pula, menyarung jersi Pahang selama 12 tahun dari 1979-1990 selain pernah menjadi jurulatih pasukan ini dua kali pada 1995-1998 dan 2001-2003.

Loading...