Last updated Tuesday, Mar 01, 17:17
Ketua jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel mengakui gembira dengan persiapan pasukan untuk mengharungi musim baru Liga Super yang akan membuka tirai secara rasmi pada 4 Mac nanti.
Meskipun pasukan sedikit terkesan dengan penularan Covid-19 dan juga isu kecederaan beberapa pemain namun Gamel berbangga dengan kesungguhan serta semangat tinggi dalam diri setiap pemain.
Tanpa mahu meletakkan sasaran khusus, Gamel optimis pasukan dapat mengharungi satu musim yang baik dalam masa sama mengharapkan penyokong akan bersabar serta memahami ia akan mengambil masa untuk prestasi pasukan berada di tahap terbaik.
"Saya perlu mengatakan semangat sepasukan dalam kalangan pemain adalah cukup tinggi, semua tidak sabar untuk mewakili SPFC dan memberikan yang terbaik tidak kira apa situasi yang telah dan sedang dilalui.
"Permulaan musim sentiasa optimistik, tapi saya berpijak di bumi nyata. Saya seorang yang realistik, SPFC telah mengharungi dua musim yang sukar, jadi perlu berhati-hati, menyediakan pemain serta semua di dalam pasukan dengan satu mindset sama.
"Keputusan akan hadir, sudah tentu, tetapi memandangkan ia satu kumpulan yang baru dengan banyak penambahan, hanya masa akan membantu untuk menjadikan mereka pasukan yang lebih baik. Saya tahu kritikan akan sentiasa ada tetapi kami fokus hanya pada diri kami, bagaimana mahu meningkat dan terus mengorak langkah, menyedari betapa sukarnya musim lalu," ujar kepada sripahangfc.com.
Gamel juga memuji mentaliti serta karakter pemain yang tidak terlalu 'manja' sebaliknya sentiasa berusaha untuk memberikan komitmen penuh kepada pasukan.
"Masih ada pemain yang cedera, tapi seperti saya kata semangat mereka tinggi. Semua harapkan yang terbaik dalam beberapa bulan mendatang kerana satu perkara, SPFC sentiasa di hati.
"Saya juga gembira melihat pemain import yang sedang melakukan yang terbaik untuk sesuaikan diri dengan pemain tempatan, ia akan menjadi satu musim yang hebat."
->>Tunjukkan rasa bangga anda dengan jersi rasmi Sri Pahang. Klik sini untuk membuat tempahan.
Tidak ketinggalan, Gamel menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua di dalam SPFC bermula daripada Presiden (Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah), barisan lembaga pengarah, pengurus pasukan (Dollah Salleh) kerana sentiasa suportif dalam apa jua keadaan walaupun ada kekangan.
SPFC akan membuka kempen Liga Super 2022 dengan menentang seteru pantai timur, Terengganu FC di Stadium Darul Makmur pada 5 Mac.