Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Gamel Ingatkan Pemain Tidak Terus Terbuai, Selangor Ibarat Gergasi Terluka

Last updated Thursday, Apr 28, 05:03

Sri Pahang bertandang ke Petaling Jaya untuk pertembungan menentang Selangor pada Jumaat ini, dengan keyakinan yang diperbaharui setelah berjaya melakar kemenangan sulung musim ini dengan menewaskan Penang 3-1 minggu lalu.

Harapan Christophe Gamel, rentak kemenangan dapat diteruskan walaupun menyedari bakal berdepan Selangor yang pastinya mahu bangkit setelah tewas buat pertama kali kepada Terengganu juga pada minggu lalu.

“Kemenangan ke atas Penang meredakan tekanan tetapi ia sudah menjadi satu sejarah, kita kini perlu melihat ke depan, perbaiki apa yang patut untuk pastikan momentum kemenangan dapat diteruskan.

“Selangor sentiasa menjadi pasukan yang liat dan sukar untuk kita tewaskan, dibarisi pemain-pemain berkualiti dan mereka ibarat gergasi terluka, sudah tentu mereka lebih membara untuk menang dalam aksi Jumaat ini setelah tewas buat pertama kali dalam aksi terdahulu.

“Walaupun moral dan motivasi pemain cukup hebat tetapi saya sentiasa mengingatkan mereka supaya tidak terbuai, kita belum berada dalam zon selesa. Kita boleh terhukum dengan kesilapan-kesilapan kecil.  

“Kita juga akan bermain di tempat lawan pertama kali selepas tiga perlawanan di Kuantan, kita tahu Selangor ada kumpulan penyokong yang hebat jadi kekuatan mental adalah satu aspek penting yang sangat perlu ditekankan,” ujar Gamel kepada sripahangfc.com.my.

Sepertimana dinyatakan Gamel, Sri Pahang tidak mempunyai rekod yang baik bertemu Red Giants sejak beberapa tahun kebelakangan, tidak pernah menewaskan skuad bimbingan Michael Feichtenbeiner itu dalam enam pertemuan terakhir.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darulmakmur pada tahun lalu menyaksikan perlawanan berkesudahan seri 2-2.        

 

Loading...