Last updated Friday, Jun 24, 14:12
Di sebalik kegagalan untuk mencatat kemenangan dalam tiga aksi terakhir Liga Super, pengendali pasukan, Christophe Gamel positif dengan perkembangan ditunjukkan barisan pemainnya.
Kemenangan terakhir Sri Pahang dalam aksi liga adalah menewaskan Kuala Lumpur 2-1 pada 7 Mei dan setelah itu mengalami kekalahan kepada Sarawak United (1-2), seri menentang Johor Darul Takzim (2-2) serta terbaru tewas kepada Sabah (1-2).
Mengakui keputusan yang tidak memihak itu mengecewakan, pengendali dari Perancis itu bagaimanapun melihat pemain mula menterjemahkan dengan cukup baik apa yang dimahukannya selain keyakinan dan keberanian dalam diri pemain muda semakin bercambah.
Justeru tanpa berselindung, Gamel berharap nasib Sri Pahang akan berubah apabila turun menentang Negeri Sembilan di Paroi pada Sabtu, walaupun mengakui satu lagi aksi sukar menanti.
“Jika dinilai perlawanan yang kita tewas ataupun gagal mencatat kemenangan, bukannya kita tidak boleh menguasai ataupun menekan pasukan lawan.
“Sepertimana menentang Sabah, mereka memberikan kita masalah di separuh masa pertama, tetapi di babak kedua kita mencipta peluang, berada di dalam permainan dan jika kita lebih tajam kita boleh mendapatkan sesuatu. Jika anda sukakan bolasepak, anda akan sukakan permainan seperti ini.
“Perlu difahami juga, kita melalui semula proses pembentukan pasukan. Ia bukan mudah, awal musim kita membina sebuah pasukan baru, di pertengahan musim proses itu berulang apabila berlaku keluar masuk pemain. Ada pemain tonggak yang baru tiba dan mereka perlukan masa.
“Tapi saya tidak mahu jadikan ini alasan, keputusan tetap menjadi keutamaan dan harapan saya kita boleh pulang dengan kemenangan dari Paroi. Ia penting setelah kita melalui fasa-fasa sukar, dan perlu untuk jarakkan diri dari zon penyingkiran,” ujar Gamel kepada sripahangfc.com.my.
Sri Pahang ketika ini berada di tangga kesepuluh dengan lapan mata, hanya satu mata mengatasi pasukan tangga kesebelas Penang FC manakala Negeri Sembilan pula lebih cemerlang, berada di tangga ketiga dengan 16 mata.