Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Gamel Tabik 'Kerja' Pemain Muda

Last updated Thursday, May 19, 19:03

Sedikit kecewa dinafikan kemenangan pada saat akhir, tetapi cukup gembira dengan apa yang telah ditunjukkan oleh barisan pemain Sri Pahang di Seri Iskandar pada Rabu. 

Begitulah perasaan pengendali, Christophe Gamel setelah Sri Pahang begitu hampir mengejutkan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) namun akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2. 

Gamel memberikan pujian terutamanya kepada pemain-pemain muda seperti Hasnul Zaim dan Saiful Jamaluddin yang melakukan 'kerja' dengan cukup baik tatkala pasukan beraksi tanpa beberapa pemain utama seperti Johan Martial,  Malik Mat Ariff, Billy Ketkeophompone dan Muslim Ahmad malah kehilangan pula David Rowley di separuh masa pertama kerana kecederaan.

"Apa yang penting bagi saya adalah bagaimana kita bermain dengan kekuatan yang tidak menyeluruh. Sebelum perlawanan lagi saya sudah kata saya tidak banyak pilihan. 

"Kita bermain dengan menurunkan pemain muda yang tidak ada pengalaman dan mereka memainkan bahagian mereka, bermain mengikut arahan dan game plan.  

"Kita hanya beberapa minit dipisahkan dari kemenangan sensasi tapi Tuhan ada perancangan berbeza. Apapun apa yang saya nak beritahu adalah saya cukup berbangga dengan pemain saya, mereka terjemahkan apa yang saya mahukan. 

"Kita tidak dalam kedudukan untuk kehilangan mata, jadi ini adalah mata berharga yang kita raih," ujar Gamel. 

Pada perlawanan itu, Sri Pahang ketinggalan pada minit ke-17 menerusi jaringan Bergson da Silva tetapi Saiful Jamaluddin yang masuk menggantikan Rowley menyamakan kedudukan menerusi percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-38. 

Manuel Hidalgo kemudiannya meletakkan Sri Pahang di depan setelah sepakan penaltinya menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-41 namun JDT berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-88 menerusi sepakan penalti Bergson. 

Mengenai keberaniannya menerapkan permainan terbuka terutama di separuh masa pertama sehingga berjaya bangkit mendapatkan dua jaringan, ini ulasan Gamel.

"Awak tidak boleh menang dengan bertahan. Cara saya adalah build-up play,  membina permainan dan mencipta serangan dari bawah, itu adalah apa yang saya tekankan ketika latihan. Siapapun pemain yang diturunkan, itulah falsafah yang perlu diikuti dan difahami, dan mereka terjemahkannya dengan hampir sempurna. 

"Ia akan menjadi sempurna jika kita tidak melepaskan dua gol tetapi kita tetap menyelamatkan banyak percubaan. Jadi dalam hal ini saya boleh kata mereka telah beraksi cemerlang,  mereka belajar bertahan kerana mereka tahu untuk menyerang. Ini adalah satu proses," ujar Gamel.

Loading...