Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Gamel Terkilan Keputusan Kontroversi Pengadil Ragut Kemenangan Sekali Lagi

Last updated Sunday, Apr 10, 14:26

Sri Pahang FC hanya beberapa minit sahaja dipisahkan daripada meraih kemenangan sulung dalam kempen Liga Super 2022, namun akhirnya terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 menentang PJ City. 

Bermain di laman sendiri di Stadium Darulmakmur, Christophe Gamel membuat satu pertukaran di dalam kesebelasan utama daripada skuad menentang Kedah dengan merehatkan Johan Martial yang mengalami kecederaan ringan ketika latihan dan menggantikannya dengan Nick Swirad. 

Kita berhasil mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan hasil larian solo cantik oleh Manuel Hidalgo pada minit ke-38 namun sedikit buntu untuk menambah jaringan walaupun beroleh beberapa peluang.

Pasukan pelawat ampuh bertahan dan berjaya mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-86 menerusi R.Bharatkumar, tetapi jelas sekali jaringan itu menimbulkan pertikaian berikutan seorang pemain mereka telahpun berada dalam keadaan offsaid. 

Malah pada awalnya pengadil telah membuat keputusan tepat dengan membatalkan jaringan itu sebelum mengubah pendirian setelah diasak dan dibantah oleh pemain dan pegawai PJ City.

Mengulas mengenai situasi itu, ini reaksi Gamel selepas perlawanan.

"Perlawanan yang menarik, kita sepatutnya boleh menjaringkan beberapa lagi gol. Tapi sekali lagi malam ini, apabila pengadil kata offsaid, ianya (adalah) offsaid, saya tidak pernah tengok mana-mana pengadil mengubah keputusan, ia kerana mereka (PJ City) memberi tekanan kepada dia. 

"Peraturannya adalah jelas, apabila seseorang pemain (lawan) membuat pergerakan atau mengganggu permainan (pandangan penjaga gol), ianya offsaid. 

"Saya tak mahu bercakap lebih mengenai perkara ini sebab saya penat, ini kali kedua, dan saya pun faham bercakap banyak pun setiap kali situasi tidak menyebelahi kita.

"Selain daripada kekecewaan ini, selebihnya saya gembira dengan mentaliti dan mindset pemain saya, mereka berjuang habisan sehingga minit akhir, cuma pada penghujung permainan kita boleh melihat ia menjadi sukar kerana mereka keletihan, kita membayar harga yang mahal untuk perjalanan jauh ke Kedah," kata Gamel.

Loading...