Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Gamel Tuntut Konsistensi Selepas Hapuskan Badi KL City

Last updated Sunday, May 08, 22:33

Sri Pahang akhirnya berjaya meleraikan badi KL City, apabila melakar kemenangan 2-1 ke atas pasukan juara Piala Malaysia itu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super yang berlangsung pada Sabtu. 

Skuad tok gajah tewas dalam kesemua empat perlawanan menentang pasukan bimbingan Bojan Hodak itu pada musim lalu, tetapi kali ini tidak membiarkan rekod itu terus melebar apabila melakar kemenangan menerusi jaringan padu Nor Azam Azih dan penalti Manuel Hidalgo. 

Ia adalah kemenangan kedua Sri Pahang bagi musim ini, membolehkan pasukan mengumpul tujuh mata dan mendaki ke tangga keenam. 

Bagi Christophe Gamel, kemenangan sememangnya melegakan apatah lagi Sri Pahang mengharungi prestasi yang tidak menentu, sudahpun tewas tiga kali dalam lima perlawanan sebelum ini. 

Sambil memberikan kredit kepada barisan pemain, jurulatih dari Perancis itu menuntut pasukan akan tampil dengan permainan konsisten dan terus memperbaiki kedudukan dalam liga. 

"Tetapi pemain menunjukkan bola sepak dan falsafah yang saya mahukan menentang pasukan yang baik seperti KL City FC. Mereka kekal bersemangat dan saya lihat keyakinan mereka bertambah selain faham apa yang saya mahukan daripada mereka.

"Kita perlu terus realistik dan bekerja keras untuk mengutip mata demi mata dan mungkin di pertengahan liga, kita lihat adakah dapat mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ataupun tidak.

"Mereka tidak goyang walaupun KL City cuba untuk menjelmakan kebangkitan lewat permainan dan berjaya untuk mendapatkan satu gol, saya bangga dengan keseluruhan pasukan tetapi saya tahu kita boleh buat lebih baik daripada ini.  

“Masalah utama kita adalah konsistensi dan bagaimana kita mahu kekalkan persembahan seperti ini dalam perlawanan seterusnya," kata Gamel.

Aksi seterusnya, Sri Pahang akan melayan kunjungan Sarawak United di Stadium Darul Makmur pada Rabu, 11 Mei sebelum menentang Skuad Projek FAM-MSN dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada 14 Mei, juga di laman sendiri. 


Loading...