Last updated Friday, Sep 03, 11:21
Perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC (KDAFC) pada Rabu, menandakan penampilan sulung pemain sayap lincah Hafiz Ramdan selepas hampir empat bulan tersisih.
Ketua jurulatih, Dollah Salleh menurunkan Hafiz yang mesra disapa Kancil di separuh masa kedua menggantikan Fazly Mazlan dan kemasukkannya sedikit sebanyak menghidupkan barisan depan pasukan Sri Pahang.
Meskipun tidak berjaya membantu pasukan meraih tiga mata setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1, Hafiz jelas teruja untuk akhirnya kembali selepas kali terakhir berada di dalam matchday squad ketika menewaskan Perak FC 2-2 pada 9 Mei lalu.
Penampilan terakhirnya pula adalah sebagai pemain gantian pada 1 Mei ketika kemenangan besar 5-0 ke atas Uitm FC.
->>Muat turun aplikasi SriPahangFc di Google Play Store dan App Store untuk tidak terlepas berita dan perkembangan terkini kelab.
"Lebih tiga bulan saya tidak bermain jadi memang teruja tapi perasaan gemuruh masih ada kerana saya baru beberapa hari menyertai latihan bersama rakan sepasukan, dan badan saya pun belum cergas 100 peratus.
"Memang saya akui ia sangat sukar, apapun saya perlu teruskan latihan kerana ini sahaja masa yang ada untuk kembalikan match fitness," ujar Hafiz kepada Unit Media Sri Pahang.
Pemain berusia 28 tahun itu berharap dapat tampil dengan aksi lebih baik untuk membantu pasukan menoktahkan kemarau kemenangan jika terus diberi kepercayaan dalam baki perlawanan Liga Super musim ini.
Sri Pahang akan turun menentang Penang FC pada 5 September dan mengakhiri saingan menentang Uitm FC pada 12 September.
Foto: Hafiz Ramdan memanaskan badan ketika waktu rehat separuh masa pertama.
"Pasukan kita belum selamat dari zon penyingkiran jadi saya mengharapkan kita dapat kutip mata sebanyak yang boleh dalam baki dua perlawanan. Jumpa Penang selepas ini memang bukan satu perlawanan yang mudah, mereka konsisten dan sedang mencabar kedudukan dua teratas, sudah tentu tidak mahu melakukan kesilapan.
"Tapi kita bermain di tempat sendiri, dan saya pasti kita akan bekerja keras untuk dapatkan tiga mata," tambahnya.
Penampilan Hafiz turut mendapat pujian Dollah Salleh yang menganggap dia tetap cuba memberikan yang terbaik dalam situasi tidak cergas sepenuhnya.
"Saya terpaksa menggunakan Hafiz walaupun dia belum cergas kerana kita kekurangan pilihan di sebabkan kecederaan tetapi dia tidak mengecewakan. Saya nampak dia berikan komitmen yang saya mahukan dan bekerja keras membantu serangan."