Last updated Saturday, Apr 09, 05:39
Tiada keputusan lain yang dicari melainkan kemenangan
apabila Sri Pahang turun menentang PJ City di Stadium Darulmakmur pada Sabtu.
Pengendali pasukan, Christophe Gamel berkata kekalahan
kepada Kedah dalam aksi sulung tidak perlu diratapi terlalu lama dan fokus kini
adalah meraih tiga mata sulung Liga Super 2022.
Beliau bagaimanapun tidak mahu barisan pemain mengambil
mudah cabaran PJ City walaupun pasukan lawan kendalian P.Maniam membariskan
sepenuhnya pemain tempatan.
Apatah lagi, PJ City masih dalam motivasi yang tinggi
selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Terengganu FC pada Rabu lalu untuk
melonjak ke tangga ketiga.
“Kita telah lihat apa berlaku kepada Terengganu, jadi kita
perlu waspada dan hormat lawan kita siapa pun mereka. Kita perlu terus bekerja
keras.
“Kebimbangan utama saya adalah proses pemulihan, kita mengharungi
perjalanan jauh ke Kedah dan mempunyai masa singkat untuk berehat dan bersedia bagi
perlawanan seterusnya.
“Perkara positif yang boleh diambil dari perlawanan
menentang Kedah adalah mentaliti pemain yang mahu menyerang tanpa putus asa sehingga
wisel penamat.
“Saya akui kita perlu lebih tajam dan itu adalah perkara
yang sentiasa saya berikan perhatian dan tekankan ketika latihan setiap hari, lebih
daripada segalanya, mungkin anda tidak tahu.
“Dalam hal ini, saya perlu beri keyakinan dan kepercayaan
kepada pemain, tiada benda yang datang dengan mudah, perlukan kerja keras dan
dedikasi untuk mencapai apa yang kita mahukan,” kata Gamel kepada sripahangfc.com.my.