Last updated Tuesday, Sep 07, 13:26
Helmi sasar bantu Sri Pahang cemerlang di Piala Malaysia
Penjaga gol berpengalaman, Helmi Eliza Elias percaya Sri Pahang akan bangkit sebagai sebuah pasukan yang jauh lebih baik dalam saingan Piala Malaysia tahun ini, di sebalik mengharungi musim yang mengecewakan dalam Liga Super.
Menurut Helmi, kekangan utama pasukan sebelum ini adalah tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik disebabkan kecederaan serta kekurangan pengalaman pemain-pemain muda.
Namun dengan kembalinya tonggak-tonggak utama serta peningkatan prestasi pemain muda, dia melihat prestasi pasukan semakin positif dari perlawanan ke perlawanan dan menganggap ia sebagai indikasi kebangkitan.
“Bagi saya, kita mampu untuk beri saingan jika kita ada kekuatan penuh dan ini dapat kita lihat dalam perlawanan menentang Kedah dan Penang.
“Memang betul kita tidak menang, main cantik macam mana pun orang tak pandang kalau tak dapat tiga mata, tapi dari sudut positif kita semakin bertambah baik.
“Dan sepanjang ketiadaan pemain utama, kita lihat jurulatih telah memberi peluang kepada pemain-pemain muda, yang diturunkan ketika lawan JDT terutamanya semua ada kualiti seperti Syahir, Zazrir, Nur Izzat, termasuk Daniel. Mereka dapat peluang dan kini mereka ada lebih keyakinan.
“Jadi saya percaya kita akan mempunyai skuad lebih baik selepas ini, untuk mengharungi Piala Malaysia dan memang harapan saya mahu bantu Sri Pahang untuk cemerlang,” ujar penjaga gol berusia 38 tahun itu.
Helmi Eliza sebelum ini tersisih kerana kecederaan lutut yang dialami ketika sesi latihan sebelum perlawanan menentang Terengganu FC.
Perlawanan menentang Penang FC yang mana Sri Pahang tewas 1-2 adalah penampilan pertamanya selepas empat perlawanan.
Mengenai dua jaringan yang dilepaskannya di separuh masa kedua, Helmi mengakui ada melakukan kesilapan dan meminta maaf kepada kepimpinan tertinggi kelab, barisan kejurulatihan, rakan sepasukan serta penyokong.