Last updated Wednesday, Sep 01, 15:27
Segmen jejak lagenda kali ini kita mengimbau semula kegemilangan pemain import, Alan Davidson ketika menyarung jersi Pahang.
Pemain berasal dari Melbourne, Australia ini bermain dengan Pahang selama lima musim bermula 1992 hingga 1996.
Antara yang pernah beraksi bersama Alan Davidson ketika itu termasuklah Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Khairul Azman Mohamed, Zulhamizan Zakaria, Azaruddin Aziz, Ahmad Yusof, Attapol Buspakom, Gus Cerro, Allahyarham Borhan Abu Samah, Fandi Ahmad dan Allahyarham Shadan Zahari.
Alan mempunyai reputasi sebagai pemain ‘versatile’ berikutan kebolehannya bermain di pertahanan kiri atau kanan selain turut boleh bermain di posisi tengah dan sehingga kini dilabel antara pemain import terbaik pernah dimiliki Pahang.
Pemain ini membawa impak segera pada musim sulungnya bersama Pahang, menjadi antara tunjang kekuatan skuad bimbingan Mike Brown yang merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih, Liga Semi-Pro, Piala Malaysia dan Piala Fair Play 1992.
Dalam aksi final Piala Malaysia 1992 menentang Kedah, ianya hantaran Alan Davidson dari kawasan sendiri yang disempurnakan Zulhamizan Zakaria seawal minit kedua menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.
Wartawan sukan terkenal, Rizal Hashim dalam satu nukilan pernah mendedahkan aksi cemerlang Alan pada malam final itu menyaksikannya telah diundi sebagai pemain terbaik perlawanan akhir, namun ia menjadi milik Zulhamizan.
Begitupun Alan memenangi anugerah lebih besar, dinobatkan Pemain Terbaik Liga Malaysia bagi tahun 1992 yang kemudian memaksa Pahang untuk berbelanja besar, memecah kantung membayar lebih RM500,000 untuk mengekalkan khidmatnya.
Apatah lagi pasukan gergasi Liga Malaysia seperti Selangor dan kelab Jepun, Hiroshima FC turut cuba memancingnya dengan tawaran lumayan.
Biarpun pada awalnya dalam dilema apatah lagi Selangor ketika itu dibimbing Ken Worden, bekas jurulatihnya di South Melbourne FC, Alan memilih untuk kekal setia bersama Pahang.
Dia meneruskan kecemerlangan dengan membawa Pahang muncul juara Piala Sumbangsih 1993; naib juara Piala Malaysia (1994 dan 1995); juara Liga Perdana 1995; naib juara Piala Sumbangsih 1995; dan naib juara Piala FA 1995.
Sumbangan besarnya kepada pasukan mendapat penghargaan serta pengiktirafan apabila menjadi satu-satunya pemain import dalam Liga Malaysia dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Pahang (AMP) daripada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 1996.
Alan meninggalkan Pahang selepas berakhir musim 1996 dan mengumumkan persaraan pada 1998 pada usia 38 tahun, selepas bermain dengan Collingwood Warriors dan Melbourne Knights.
->> Muat turun aplikasi SriPahangFc di Google Play Store dan App Store untuk tidak terlepas berita dan perkembangan terkini kelab.
Selepas bersara, Alan terjun ke bidang kejurulatihan dengan menumpukan kepada pembangunan akar umbi di Australia dan pernah kembali ke bumi Pahang untuk membimbing Pahang pada 1999, tetapi tidak bertahan lama dan digantikan oleh Fuzzemi Ibrahim.
Di pentas antarabangsa, Alan pernah mewakili pasukan bolasepak dan futsal Australia, selain turut pernah menganggotai skuad Olimpik Seoul 1988.
Namanya masuk ke dalam Hall of Fame Persekutuan Bolasepak Australia pada 2001 dan pada Julai 2012, Alan dinamakan sebagai salah seorang anggota skuad terbaik sepanjang zaman Australia bersama-sama nama besar seperti Mark Viduka, Tim Cahill, Harry Kewell, Mark Schwarzer dan Craig Moore.