Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Jejak Lagenda - Mubin Mokhtar

Last updated Saturday, Oct 23, 12:04

Segmen Jejak Lagenda kali ini, kita mengenali dengan lebih dekat bekas pemain yang membintangi skuad Pahang pada sekitar era 90-an, Mubin Mokhtar. 

Meskipun berasal dari Terengganu, sebahagian besar perjalanan karier Mubin adalah bersama pasukan Pahang, lantas tidak hairanlah beliau berjaya memahat nama sebagai salah seorang pemain kesayangan penyokong pada zamannya itu. 

Pemain berkaki kidal yang sinonim dengan tendangan kencang bak peluru ini bermain selama enam tahun bersama Pahang dan merupakan anggota skuad juara Liga Semi-Pro dan Piala Malaysia 1992. 

Minat Mubin terhadap bolasepak bermula sejak dari usia tujuh tahun dan beliau mula mewakili peringkat negeri pada tahun 1982 (12 tahun) dalam pertandingan Piala Rahman, dan selepas itu Piala Razak pada tahun 1985.

Ketika usianya 16 tahun Mubin sudahpun berada di dalam skuad pelapis kebangsaan dan pernah beraksi di Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN.  

Sebelum menyertai pasukan semi-pro Pahang pada 1989, Mubin bermain dengan pasukan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu dalam saingan Piala FAM serta mewakili Terengganu dalam Piala Malaysia 1988. 

Jurulatih Pahang ketika itu, Georgy Szager terpikat dengan kelebihan yang ada padanya dan memanggilnya menjalani latihan. Kecenderungan Pahang memberi peluang kepada pemain-pemain muda membolehkannya memenangi kontrak bersama tok gajah. 

Selepas setahun bersama Pahang, Mubin kemudiannya mendapat call-up untuk menyertai pasukan Olimpik Barcelona 1990 dan hanya kembali semula menyarung jersi Pahang pada pertengahan 1991. 

Beliau memanfaatkan sebaik mungkin pengalaman yang diraih ketika bersama skuad Olimpik dan menjadi antara tonggak instrumental yang membantu Pahang mengecap gemilang pada 1992 dengan menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Semi-Pro serta Piala Malaysia selepas 11 tahun.  

Mubin meninggalkan Pahang pada 1994 untuk beraksi dengan Terengganu selama semusim dan kemudiannya Selangor selama dua musim sebelum membuat keputusan menggantung but pada 1998 ketika usianya baru 28 tahun bagi memberi tumpuan kepada bidang perniagaan (pengusaha stesen minyak). 

Selepas bersara, beliau tidak pernah terlibat dengan bolasepak sehinggalah pada 2014 apabila terlibat di dalam pengurusan skuad PDRM FC selama hampir lima tahun. 

Bersama pasukan kebangsaan, Mubin menganggotai skuad Piala Kemerdekaan Indonesia, Pestabola Merdeka dan kelayakan Piala Dunia 1992 serta pernah beraksi di Sukan SEA 1993.

Loading...