Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Jejak Lagenda - Muhammad Asyraf Anbalagan Abdullah.

Last updated Wednesday, Sep 01, 15:14

A.Anbalagan atau nama islamnya Muhammad Asyraf Anbalagan Abdullah menyarung jersi Pahang dari tahun 1985-1992. 

Bakatnya dikesan dan diketengahkan oleh Fred Binney, pengendali Pahang pada tahun 1984 yang sedang mencari pemain muda bagi mengisi kekosongan bakal ditinggalkan pemain-pemain senior. 

Setahun sebelum itu, Anba pernah menyertai latihan skuad Piala Rahman Pahang namun malangnya digugurkan selepas sesi pemilihan berakhir, namun usahanya untuk sekali lagi mencuba nasib jelas tidak sia-sia. 

Binney tertarik dengan Anba yang ketika itu bermain mewakili Daerah Jerantut.

Anba mula menonjol setelah menyerlah dalam saingan Piala Malaysia 1986 ketika usianya baru 19 tahun.  

Dalam karier tujuh tahunnya bersama skuad tok gajah, Anba pernah bergandingan bersama ramai pemain bintang terkemuka.


->> Muat turun aplikasi SriPahangFc di Google Play Store dan App Store untuk tidak terlepas berita dan perkembangan terkini kelab.



Ini termasuklah pengendali Sri Pahang ketika ini, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Yunus Aliff, Fandi Ahmad, V.Sundramoorty, Mubin Mokhtar serta penyerang dari Thailand Ronnachai Sayomchai dan Piyapong Pue-on.

Anba dikenali ramai dengan larian kencang ibarat lipas kudung dan kepakarannya menggelecek pertahanan lawan. 

Kenangan paling manis Anba dalam jersi Pahang sudah tentunya pada tahun terakhir beliau bermain dengan Pahang apabila membantu pasukan memenangi kejuaraan Liga Semi-Pro, Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan Piala Fair Play. 

Penyerang lincah ini turut pernah menyarung kebangsaan dengan pencapaian terbaiknya adalah memenangi pingat emas Sukan SEA 1989. Beliau menjaringkan dua gol ketika menentang Filipina dalam aksi peringkat kumpulan. 

Selain itu, beliau juga pernah beraksi menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Everton dalam perlawanan persahabatan sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirainya.

Pasukan terakhir yang diwakilinya adalah Negeri Sembilan pada 1993, dan bersara setahun kemudian. 

Anba diketahui menderita penyakit angin ahmar sejak tahun 2015 dan nasib beliau pernah mendapat perhatian daripada pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Pahang yang melawat dan menyampaikan sumbangan ikhlas kepada beliau dan keluarga pada 2016.

Terima kasih Anba atas jasa bakti yang dicurahkan kepada Pahang, jasa anda sentiasa dikenang!

Loading...