Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Jejak Lagenda - Ramli Mahmud

Last updated Monday, Sep 20, 15:44

Segmen Jejak Legenda kali ini kita mengenali pemain yang memperkuatkan pasukan Pahang pada sekitar tahun 1970-an dan 80-an, Ramli Mahmud. 

Ramli berasal dari Pulau Pinang dan beraksi di posisi pertahanan tengah, di mana ketika zamannya beliau mencipta gandingan bersama-sama Jamal Nasir, Wan Zulkifli Wan Abdullah dan Talib Sulaiman di benteng terakhir Pahang. 

Karier bolasepak Ramli bermula seawal peringkat sekolah bersama Sekolah Kebangsaan St Mark Butterworth dan bakatnya mula menonjol sewaktu beraksi bersama Jabatan Penjara Pulau Pinang pada awal 70-an. 

Ketika itu, skuad Penjara dibarisi pemain-pemain hebat tanah air antaranya Salleh Ibrahim, Syed Ahmad Syed Abu Bakar, Hamzah Hussin, Wan Zawawi Wan Yusof dan Dato’ Namat Abdullah.  

Ramli berpindah ke Perak pada 1973 dan setahun kemudian pada 1974, beliau berpindah pula ke Pahang bersama-sama sembilan lagi rakannya yang juga mewakili Jabatan Penjara termasuklah Tajuddin Nor. 

Sejak itu, sambil mewakili pasukan Penjara, beliau juga telah bermain dengan pasukan Pahang selama lapan tahun sehingga 1982. 

Sepanjang tempoh itu, beliau telah membantu pasukan Pahang untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia sebanyak tujuh kali dan dua kali memenangi Piala Emas Raja-Raja. 

Beliau juga pernah dipanggil untuk kem latihan pusat skuad kebangsaan pada penghujung 1970-an dan berpengalaman berlatih bersama-sama legenda bolasepak tanah air seperti Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh. 

Selepas meninggalkan Pahang, Ramli telah bermain dengan pasukan Kelab Darul Makmur dan menjulang Piala FAM sebanyak tiga kali.

Loading...