Last updated Wednesday, Sep 01, 15:27
Segmen Jejak Legenda kali ini kita mengenali bekas bintang pujaan Pahang era 80-an, Yunus Alif yang dianggap sebagai salah seorang penyerang tempatan terbaik pernah mewarnai saingan Liga Malaysia.
Berasal dari Terengganu, bakat beliau dikesan ketika bermain untuk kelab Fajar Hiliran ketika usia belasan tahun.
Yunus kemudian bermain bersama pasukan negeri kelahirannya pada 1976 ketika usianya 18 tahun namun ianya bersama Pahang beliau menghabiskan sebahagian besar karier.
Perpindahan ke Pahang pada 1978 atas nasihat abangnya Najib Alif (juga bekas pemain Pahang dan Terengganu) adalah titik tolak yang membawa perubahan besar dalam karier Yunus, di mana beliau menyerlah mencipta nama sehingga dipanggil menganggotai skuad kebangsaan.
Selain Najib, seorang lagi abangnya, Abdah Alif juga merupakan bekas pemain Terengganu, Pahang dan kebangsaan.
Yunus adalah antara sandaran utama mendiang Frank Lord (bekas jurulatih Pahang) pada 1983, digandingkan bersama Hamidon Abdullah dan Zainal Abidin Hassan di barisan depan di mana mereka berganding cemerlang membantu Pahang menjulang Piala Malaysia buat pertama kali dengan menewaskan Selangor dalam aksi final.
Pada 1984, walaupun Pahang gagal mempertahankan Piala Malaysia setelah tewas kepada Selangor di final, Yunus berjaya mengukuhkan reputasinya sebagai penyerang terbilang apabila muncul sebagai pemenang Kasut Emas Liga Malaysia setelah meledak 14 gol.
Prestasinya itu telah membawanya kembali menyarung jersi Malaysia untuk mengharungi cabaran pusingan kedua Kelayakan Pra-Olimpik 1984 di Singapura dan Pusingan Kelayakan Piala Dunia (selepas dua tahun digugurkan).
Sebelum itu, beliau pernah mewakili negara dalam beberapa kejohanan seperti Piala Jakartaraya 1978 (Indonesia); King Cup 1978 (Thailand); Korea Cup 1978 dan beberapa pertandingan lain tetapi digugurkan pada 1982 kerana faktor kecergasan.
Selepas bersara, Yunus terjun ke bidang kejurulatihan dan bertindak sebagai penolong kepada Tajuddin Nor, jurulatih Pahang dari tahun 1991 hingga 1994.
->> Muat turun aplikasi SriPahangFc di Google Play Store dan App Store untuk tidak terlepas berita dan perkembangan terkini kelab.
Pada 1995 beliau dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih dan membimbing skuad tok gajah muncul juara Liga Premier, naib juara Piala FA dan Piala Malaysia.
Selepas membawa Pahang sekali lagi muncul naib juara Piala Malaysia pada 1997, Yunus kemudiannya berhijrah ke Terengganu pada 1998 dan menjulang Piala FA pada 2000, sebelum kembali menerajui semula Pahang dari tahun 2001 hingga 2003.
Selepas itu beliau berkelana membimbing beberapa pasukan seperti Pulau Pinang (2004), Terengganu (2005-2008), Proton (2009), Perlis (2010 dan 2013), T Team (2011), PBAPP (2014) dan Real Mulia FC menjadi pasukan terakhir dikendalikannya pada 2015.