Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Kehadiran Semula Penyokong ‘X-Factor’ Buat Sri Pahang

Last updated Friday, Oct 29, 18:28

Pemain pertahanan, Nicholas Ryan Swirad meminta penyokong setia skuad tok gajah agar hadir memberikan sokongan dan menggamatkan Stadium Darul Makmur dalam baki saingan TM Piala Malaysia yang akan kembali bersambung pada 29 Oktober ini. 

Setelah beraksi dua perlawanan pertama Kumpulan A di gelanggang lawan, kita akan beraksi buat pertama kali di gelanggang sendiri apabila turun menentang Penang FC dalam perlawanan ketiga. 

Pemain berdarah kacukan itu percaya kehadiran semula penyokong ke stadium akan menjadi tonik terbaik seterusnya memberi motivasi tambahan kepada keseluruhan pasukan yang membawa misi getir memburu kemenangan bagi menghidupkan peluang mara ke suku akhir. 

“Kami tahu kelab sedang melalui satu fasa sukar dan apa yang kami pemain dan pegawai boleh lakukan adalah terus bekerja keras, bersatu untuk menghadiahkan sesuatu kepada penyokong dan semua di kelab ini. 

“Sudah tentu kehadiran semula penyokong akan banyak membantu lebih-lebih lagi kita akan bermain tiga daripada empat perlawanan berbaki di Darul Makmur. Mana-mana pemain lawan yang datang ke sini tahu betapa sukarnya berdepan sorakan penyokong Pahang.    

“Memang mengambil kira situasi dan prestasi semasa, kami tahu dan sedar penyokong pastinya berkira-kira untuk hadir ke stadium tapi kami tetap berharap mereka akan terus berdiri teguh di belakang kami sekiranya kami memberikan 100 peratus di atas padang,” kata Swirad. 

Sri Pahang membuka tirai saingan TM Piala Malaysia 2021 dengan kekalahan 1-3 kepada KL City disusuli 0-1 kepada Sarawak United yang kini sedang menerajui Kumpulan A dengan enam mata. 

Meskipun mengakui sukar untuk pasukan melepasi cabaran peringkat kumpulan setelah bermula dengan dua kekalahan, Swirad mahu kekal positif dan menganggap apa sahaja boleh berlaku selagi peluang masih terbuka. 

“Tiada yang mustahil, dalam sebulan ini kita telah melihat di mana silapnya dan apa sahaja kelemahan yang dikesan, kita perbaiki dan terus bergerak ke depan dalam haluan positif mengharapkan ia dapat diterjemahkan kepada keputusan yang kita mahukan. 

“Secara jujur pasukan ini ada kualiti, ada kemahuan, ada pemain dan barisan kejurulatihan yang hebat. Bersama pasukan ini sejak beberapa bulan lalu adalah satu kebanggaan buat saya. 

“Saya harap saya telah membawa impak positif kepada pasukan dan juga rakan sepasukan, saya berharap dapat membantu pasukan ini mara sejauh mungkin tetapi yang penting kita perlu terus bekerja untuk menjadi lebih baik.”

Loading...