Last updated Wednesday, Sep 01, 15:26
Kemenangan penting lonjakkan motivasi Sri Pahang
Sri Pahang melakar kemenangan penting 1-0 ke atas PJ City FC, semalam di Stadium Darulmakmur, terima kasih kepada jaringan tunggal Aung Kaung Mann pada minit ke-15.
Kemenangan itu bukan sahaja membantu Sri Pahang untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super dengan mendaki ke tangga kesembilan dan menjarakkan diri dari zon penyingkiran, tetapi turut melebarkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan.
Perlawanan berlangsung seimbang, tetapi Tok Gajah lebih banyak mencipta peluang dan sepatutnya menang dengan lebih banyak jaringan jika tidak kerana jentera serangan diketuai Kenyok Wal Athiu (Kenny Athiu) melepaskan beberapa peluang keemasan.
Pujian sewajarnya diberikan kepada kapten pasukan Muslim Ahmad dan Mark Herold Goulon yang bergandingan baik di jantung pertahanan untuk menghalang PJ City mencipta peluang jaringan.
->>Muat turun aplikasi SriPahangFc di Google Play Store dan App Store untuk tidak terlepas berita dan perkembangan terkini kelab.
Tiga mata yang diraih menyaksikan Sri Pahang hanya dipisahkan tiga mata dari kelompok enam teratas dan empat mata di atas zon bahaya sekaligus melonjakkan sedikit motivasi di kem pasukan selepas beberapa kali dihampakan menerusi kelekaan minit akhir.
Ketua jurulatih Dollah Salleh lega pasukannya kembali ke landasan kemenangan selepas seri dalam dua aksi terdahulu menentang Melaka United dan Sabah FC namun mengakui sepatutnya boleh menang dengan jaringan lebih besar.
"Kita ada beberapa peluang keemasan terutama melalui Kenny Athiu tetapi tidak dapat menyudahkannya. Prestasi dia sebenarnya semakin meningkat tetapi itulah malam ini di tak menjadi. Ini bukan malam dia.
"Pemain-pemain sebenarnya mungkin terlalu fikir nak jaga kelebihan satu gol, tak nak kesilapan sama berulang jadi tak dapat main macam biasa, mereka terlalu tumpukan nak bertahan dan ditambah faktor keletihan kerana jadual yang padat.
Beliau tidak menolak Sri Pahang akan terus bermain seperti ini dalam usaha memburu tiga mata dalam baki perlawanan dan mengejar kedudukan enam teratas dalam Liga Super.