Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Keyakinan Bertambah Baik Ceriakan Dollah Salleh

Last updated Thursday, Nov 04, 18:32

Keyakinan Bertambah Baik Ceriakan Dollah Salleh

Keyakinan yang semakin bertambah baik dalam kalangan barisan pemain selepas tempoh rehat panjang selama sebulan, cukup menggembirakan ketua jurulatih Dollah Salleh. 

Figura berusia 58 tahun itu menyaksikan anak buahnya menterjemahkan permainan bertenaga untuk melakar kemenangan 4-0 dan terbaru 5-0 ke atas Penang FC dalam aksi Piala Malaysia, dan dia tidak mahu kebangkitan ini terhenti di situ. 

Jika selama ini Dollah begitu runsing memikirkan susahnya untuk meledak walau satu gol, kini sembilan gol terhasil dalam dua perlawanan – Kenny Athiu dan Malik Mat Ariff menjaringkan tiga gol, Abubakar Yakubu (2 gol) dan Manuel Hidalgo (1 gol). 

Beliau tidak menafikan tempoh rehat panjang selama sebulan memberi ruang secukupnya untuk mengenalpasti dan memperbetulkan kelemahan yang ketara terserlah selama ini.

"Saya bangga pemain dapat kekalkan corak permainan sama di Kuantan (menentang Penang) tempoh hari, dan semangat pemain selepas menang perlawanan pertama dapat dikekalkan. Saya pun tak sangka kita boleh skor 5 gol malam ini. 

"Sebelum ini kita tercari rentak dan masalah kecederaan, jadi saya sukar dapatkan kesebelasan terbaik menyebabkan kita sentiasa buat pertukaran dalam setiap perlawanan. Tapi dalam tempoh sebulan berehat, nampaklah persiapan lebih lancar. 

"Selepas dua perlawanan persahabatan, saya nampak pemain mana boleh diletakkan dalam kesebelasan utama, dan keserasian antara pemain juga bertambah baik," ujarnya.

Lebih menggembirakan Dollah Salleh, pemain-pemain tidak melakukan kesilapan mudah sepertimana lazim selepas mendahului selesa 3-0 dan gembira mereka bermain mengikut taktikal yang direncanakan. 

"Saya puas hati dengan corak permainan individu setiap pemain. Cuma lepas kita mendahului 3-0 saya tekankan kita tak boleh main sambil lewa sebab saya pasti jika Penang skor gol awal dalam separuh masa kedua kita akan buat kesilapan besar. 

"Kita dapat sekat benda tu dan kita pulak yang tambah gol. Saya akui ketika tiga gol di first half tu saya sendiri masih tak steady, lepas gol keempat baru diri sendiri rasa selesa," katanya.

Dengan enam mata, Sri Pahang kembali menghidupkan peluang untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia. Mereka ketika ini di kedudukan ketiga Kumpulan A di belakang KL City dan Sarawak United.

Loading...