Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Keyakinan Samassa Bertambah Baik Selepas Catat Dua Clean-Sheet

Last updated Monday, Aug 08, 19:10

Keyakinan yang semakin bertambah baik adalah faktor Mamadou Samassa berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi dalam dua perlawanan berturut-turut.

Demikian menurut ketua jurulatih, Dato’ Dollah Salleh yang mengakui gembira dengan prestasi semasa bekas penjaga gol skuad kebangsaan Mali itu.

Jika dalam 11 perlawanan pusingan pertama Liga Super, Sri Pahang bolos dalam semua perlawanan, cerita berbeza disaksikan bermula aksi pusingan kedua apabila gawang kawalan Samassa tidak dibolosi buat pertama kali ketika menewaskan Selangor 2-0.

Rekod itu diteruskan ketika menewaskan Kedah Darul Aman FC, juga dengan jaringan 2-0 lantas Dollah menyifatkan pemain itu telah mendapat semula keyakinan yang hilang.

“Memang saya akui dia agak goyah sebelum ini, sebenarnya dia seperti hilang keyakinan. Kalau kita tengok di Liga Malaysia ini, Samassa adalah penjaga gol terbaik tetapi apabila melepaskan gol yang bukan-bukan, gol yang mudah membuatkan dia hilang keyakinan.

“Apabila dia clean-sheet ketika lawan Selangor, dia dapat balik keyakinan, dan bertemu Kedah dia teruskan momentum, selamatkan beberapa percubaan. Sekarang kita boleh lihat dia gembira, dia katakan kepada semua dengan penuh ceria bahawa dia tidak bolos dalam dua perlawanan.

“Bila dia dapat tampilkan prestasi terbaik dia, tidak lagi membuat kesilapan mudah, sebenarnya ia memberi semangat dan motivasi kepada rakan sepasukan lain. Secara automatik pertahanan bermain baik, tengah dan serangan juga berfungsi dengan baik.

“Apa yang saya ingatkan kepada Samassa dan semua pemain, jangan terbawa-bawa, jangan terbuai, jangan cepat berpuas hati. Terus fokus dan tingkatkan keyakinan kerana semua baki perlawanan adalah perlawanan yang sukar,” kata Dollah.

Sri Pahang selepas ini akan bermain tiga perlawanan berturut-turut di gelanggang lawan bermula dengan menentang PJ City di Petaling Jaya pada 9 Ogos; disusuli Melaka United di Hang Jebat pada 13 Ogos dan Penang FC di Bandaraya pada 18 Ogos. 

Loading...