Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

"Kita Boleh Bermain Dengan Baik, Hanya Perlu Kurangkan Kesilapan" - Dollah

Last updated Saturday, Oct 29, 16:52

Bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk aksi timbal balik pusingan kedua Piala Malaysia pada Selasa ini, dengan misi menjaringkan empat gol, boleh dianggap sukar tetapi ia tidak mustahil untuk dilakukan. 

Dato' Dollah Salleh menekankan bahawa beliau dan barisan penolongnya telah menilai dan mengenalpasti punca kekalahan besar 1-5 kepada Terengganu tempoh hari, dan akan menyediakan skuad lebih mantap untuk cuba menjelmakan kebangkitan. 

"Kita bukannya tidak boleh bermain, kita boleh pegang bola, boleh mencipta peluang. Masalah kita tempoh hari, pemain khususnya di pertahanan seperti terkejut, tak boleh tampung tekanan daripada Terengganu, manakala di bahagian depan kita tidak sudahkan peluang. 

"Bila kena gol terlalu awal, pemain jadi tersentak, gugup dalam situasi satu lawan satu, justeru kesilapan demi kesilapan dilakukan dan keseluruhan sistem defensif jadi lumpuh. Ini berkaitan kekuatan mental pemain.

"Sebagai contoh, selepas tiga minit Terengganu skor dua gol, perlawanan selepas itu seimbang, masing-masing melancarkan serangan. Begitu juga di separuh masa kedua, perkara sama berlaku. Kesilapan besar kita lepaskan gol awal, untuk sebahagian besar perlawanan kita berjaya memberikan saingan.  

"Itu yang saya, Fandi Ahmad, dan barisan kejurulatihan akan fokus untuk perbetulkan dalam tempoh masa yang ada. Bukan sahaja pertahanan, serangan juga perlu berfungsi lebih baik. Kita masih ada 90 minit, empat gol memang besar tapi kita jangan menyerah kalah," kata Dollah kepada sripahangfc.com.my.

Beliau juga lega kerana mempunyai lebih pilihan dalam kelibat Lee Tuck dan Sergio Aguero yang diturunkan pertama kali musim ini pada Khamis lalu, dan tidak menolak kemungkinan kedua-duanya akan diturunkan di dalam kesebelasan utama.  

 

Loading...