Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

"Kita Dihukum Kesilapan Sendiri, Terlalu Takut Lawan Skor Gol"

Last updated Wednesday, Aug 24, 20:50

Dato’ Dollah Salleh menerima dengan terbuka kekalahan di tangan Terengganu pada Ahad, dengan menyifatkan kita tewas kepada sebuah pasukan yang lebih baik. 

Sri Pahang tewas 1-2 perlawanan di Stadium Darulmakmur, sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan terakhir sebelum ini, yang menyaksikan kita melakar empat kemenangan dan satu keputusan seri. 

Dollah tidak mahu menjadikan faktor kepenatan atau ketiadaan rehat yang cukup setelah beraksi tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan sebagai alasan sebaliknya mengakui pasukan tewas kerana bermain terlalu berhati-hati. 

“Selepas lima perlawanan, kita jumpa dengan sebuah pasukan yang tahap tinggi, Terengganu nampak berbeza, lebih mantap dan lebih tersusun, kita kalah kepada pasukan yang lebih baik. 

“Persembahan kita pada perlawanan ini, kita terlampau berjaga-jaga, banyak turun ke bawah, banyak bertahan. 

“Malah Steven Rodriguez juga keseorangan di atas, biasanya dia akan ada partner untuk memberi bantuan, malam ini tercicir dan rentak permainan kita hilang.

“Walaupun kita agak agresif dan mendapatkan gol awal di separuh masa kedua sepertimana dirancang, tetapi kemudiannya tukar balik ke permainan asal, kita terlalu takut lawan skor gol. 

“Tapi bila kita turun bertahan sebenarnya kita bagi Terengganu menguasai bahagian tengah dan serangan, jadi di situ kita buat kesilapan, kita sepatutnya main kita punya normal game,” kata Dollah. 

Selepas separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, Manuel Hidalgo membuka jaringan pada minit ke-47 menerusi rembatan dari luar kotak penalti. 

Terengganu kemudian bangkit menguasai perlawanan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Habib Haroon pada minit ke-73 sebelum Petrus Shitembi meledak jaringan kemenangan tiga minit sebelum tamat. 

“Memang kita punya perancangan, turun sedikit bila hilang bola, tetapi tidaklah terlalu ke bawah. Bila dah terlalu bawah sangat, memudahkan pemain Terengganu menguasai bola, seorang pemain yang baik bila diberi ruang dan masa dia akan jadi lebih baik. 

“Kita dah push mereka naik atas tetapi pemain nampak dah kepenatan dan hanya tunggu lawan datang, apapun saya tahu mereka sudah memberikan yang terbaik, saya terima hakikat Terengganu bermain lebih baik,” tambah Dollah lagi. 

Kekalahan kelapan musim ini menyaksikan Sri Pahang ketika ini di tangga kelima Liga Super dengan 21 mata.

Loading...