Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

"Kita Tewas Kepada Pasukan Yang Lebih Baik"

Last updated Wednesday, Nov 02, 19:24

Dengan tersingkirnya Sri Pahang daripada saingan Piala Malaysia susulan kekalahan kepada Terengganu, maka berakhirlah cabaran kita untuk musim 2022. 

Hajat mahu menterbalikkan kekalahan 1-5 di Kuantan tempoh hari tidak kesampaian, setelah kita tewas 2-4, menjadikan agregat keseluruhan 3-9. 

Pengendali, Dato' Dollah Salleh mengakui, sekali lagi kelonggaran di pertahanan adalah faktor utama segala perancangan tidak menjadi namun menegaskan barisan pemainnya sudah cuba untuk memberikan tentangan yang terbaik sehingga wisel penamat. 

"Memang kita datang ke sini nak bagi yang terbaik, tapi masih lagi buat silap minit awal, agak kucar-kacir di separuh masa pertama.

"Saya nampak pertahanan kita longgar khususnya ketika situasi satu lawan satu, sepertimana game di Kuantan tempoh hari. Mudah sangat pertahanan melepaskan penyerang Terengganu, itu kelemahan utama kita,

"Apabila nak bangkit di separuh masa kedua, ia sudah terlambat tapi saya bangga kita tidak berputus asa dan berjaya menjaringkan gol, Alhamdulillah kita dapat juga dua gol.

"Dengan keadaan padang yang agak (teruk), air bertakung di sana sini, Terengganu tiada masalah, tapi kita tercari-cari rentak, masih tak faham dengan keadaan padang.

"Bila separuh masa kedua baru kita faham macam mana nak bermain di atas padang bertakung dan becak, itu sebab kita dapat dua gol.

"Apapun kita kena terima hakikat, Terengganu bermain lebih baik malam ini, pujian kepada mereka," ujar Dato' Dollah.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Terengganu mendahului 4-0 di separuh masa pertama sebelum kita mendapatkan dua jaringan di separuh masa kedua menerusi Lee Tuck dan Steven Rodriguez.

Loading...