Last updated Saturday, Sep 11, 20:48
Pertembungan menentang Uitm FC pada Ahad ini adalah misi wajib menang sebagai hadiah buat penyokong setia yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan.
Penyerang Abdul Malik Mat Ariff memahami penyokong sudah begitu lama merindui sentuhan kemenangan lantas mahu membantu pasukan menutup tirai Liga Super tahun ini dengan keputusan positif.
Sri Pahang ketika ini telah mengharungi lima perlawanan tanpa kemenangan, dengan kali terakhir meraih tiga mata adalah dengan menewaskan PJ City 1-0 pada 1 Ogos lalu.
“Ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar, Uitm juga menunjukkan peningkatan dalam beberapa perlawanan terakhir. Mereka menewaskan Perak dan Sabah, hampir sahaja mengejutkan Kedah jadi kita tidak boleh mengambil mudah perlawanan ini.
“Mungkin ada yang berpendapat mereka akan turun tanpa tekanan kerana sudah sah tersingkir ke Liga Premier, tetapi kita kena ingat mereka masih ada peluang untuk layak ke Piala Malaysia jika menang jadi kita boleh jangka mereka akan tetap turun all-out.
“Bagaimanapun di kem kita sendiri, saya tengok banyak perkara positif sejak kebelakangan ini. Keserasian jauh lebih baik, kita banyak mencipta peluang, lebih banyak menguasai perlawanan dan mula bermain sepertimana yang Coach (Dollah Salleh) inginkan cuma keputusan sahaja masih tidak memihak kita.
“Bukan sahaja penyokong, tetapi kami juga terlalu dahagakan kemenangan, saya dan rakan-rakan sepasukan akan cuba memastikan kali ini kita pulang dengan tiga mata.
“Sudah tentunya kemenangan akan menjadi satu suntikan moral yang terbaik untuk kita menghadapi Piala Malaysia pula nanti,” kata Abdul Malik.
Sebagai rekod, ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darulmakmur dalam aksi pusingan pertama Liga Super pada 1 Mei lalu, Sri Pahang menang 5-0 menerusi jaringan Lee Tuck, Pedro Hendrique, Baqiudin Samsudin, Herold Goulon dan jaringan sendiri pemain lawan.
Sementara itu, bercakap mengenai prestasi peribadi, Abdul Malik mengakui dia perlu lebih bekerja keras untuk kembali ke tahap terbaik.
“Terima kasih pengurusan dan barisan kejurulatihan yang sentiasa menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya. Saya semakin yakin dan berharap prestasi akan kembali memuncak dalam saingan Piala Malaysia nanti.”