Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Pemain tidak menterjemahkan prestasi sebenar.

Last updated Wednesday, Sep 01, 15:27

Kita tidak menterjemahkan prestasi sebenar dan tidak sedikitpun berada pada tahap terbaik prestasi kita, mungkin itu kesimpulan yang boleh dibuat selepas kekalahan 0-2 kepada Terengganu FC malam tadi. 

Perkara itu turut diakui oleh ketua jurulatih, Dollah Salleh yang kecewa sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari perlawanan derby pantai timur tidak kesampaian. 

Kekalahan terbaru ini adalah kekalahan pertama kita dalam tujuh perlawanan, kali terakhir tewas sebelum ini adalah dalam aksi kesepuluh ketika menentang Penang FC.

Aksi kali ini kita turun tanpa kelibat Manuel Hidalgo yang digantung perlawanan dan tempatnya digantikan Zuhair Aizat Mohd Nazri dan Dollah juga menurunkan Zarif Irfan Hashimuddin sebagai penjaga gol menggantikan Helmi Eliza Elias.

Sri Pahang melepaskan dua gol mudah dalam 25 minit pertama namun berjaya menghalang Terengganu FC menambah jaringan, begitupun tidak berjaya untuk bangkit dan kembali ke dalam permainan.

Penyokong-penyokong mengharapkan sesuatu yang lebih dari gandingan Aung Kaung Mann dan Kenjok Wal Athiu.

Jelas sekali ada sesuatu yang menganggu pemain-pemain Sri Pahang, adakah ia kerana faktor keletihan akibat jadual yang terlalu padat?

Perlu diingat Terengganu FC bermain satu perlawanan lebih dari kita pada pertengahan minggu manakala kita telah mendapat rehat yang secukupnya berikutan aksi menentang Kedah ditangguhkan.


->> Muat turun aplikasi SriPahangFc di Google Play Store dan App Store untuk tidak terlepas berita dan perkembangan terkini kelab.


Bercakap kepada unit media Sri Pahang, Dollah meminta pemain supaya bangkit dan tidak mengulangi prestasi lesu ini dalam masa sama mengakui Sri Pahang tidak lagi boleh tercicir mata dalam lima perlawanan berbaki agar boleh terus menjarakkan diri dari zon bahaya. 

Selepas ini kita akan berdepan KL City di Darul Makmur dan kemudian bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim untuk menentang Johor Darul Takzim. Kita harapkan penyokong akan terus berdiri teguh memberikan sokongan, mendoakan keputusan positif dapat dicatat.


Loading...