Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Pencapaian Skuad Belia dan Presiden Bukti Sri Pahang Tidak Ketandusan Ubi Berbakat

Last updated Tuesday, Sep 06, 13:19

Minggu lalu menyaksikan dua skuad muda kita,  iaitu skuad B-19 (Belia)  dan B-21 (Presiden) beraksi dalam perlawanan akhir kategori masing-masing.  

Tuah bagaimanapun tidak menyebelahi kedua-dua pasukan apabila skuad Belia kendalian Bahazenan Osman tewas agregat 4-3 kepada Selangor, manakala skuad Presiden kendalian Yazeed Hamzah pula tewas agregat 2-4 kepada Johor Darul Takzim III.

Walaupun terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara, pencapaian tersebut pada hakikatnya membuktikan betapa pembangunan bakat muda Sri Pahang berada dalam landasan tepat. 

Prestasi mereka juga telah diperhatikan barisan kejurulatihan skuad senior Sri Pahang yang mengambil kesempatan memantau perkembangan pemain dari kedua-dua skuad, seterusnya mengintai prospek untuk diserap ke skuad utama. 

"Pemain-pemain muda ini telah menunjukkan satu peningkatan yang cukup bagus dari tahun ke tahun. Saya akui ada yang berpotensi diserap ke skuad utama dan pergi lebih jauh dalam karier mereka jika terus digilap dan mendapat pendedahan yang betul.  

"Sekarang pun ada di antara mereka yang berlatih bersama skuad senior, pengalaman ini akan mematangkan dan menjadikan mereka lebih baik. Kita juga sentiasa berhubung dengan jurulatih kedua-dua pasukan untuk mengetahui perkembangan pemain. 

Yang penting, dalam laluan menjadi the next Azam Azih, Ashar atau sebagainya mereka tidak boleh cepat berpuas hati, perlu sentiasa perbaiki skill dan teknik, jangan leka dibuai pujian. Jangan berada di zon selesa. 

"Saya percaya,  pencapaian di pentas Piala Belia dan Presiden pada tahun ini, walaupun tak menjadi juara tetapi membuktikan Pahang tidak ketandusan bakat.  Mereka adalah masa depan bolasepak tanah air, dan kita akan mengetengahkan lebih ramai lagi selepas ini. " ujar ketua jurulatih Sri Pahang, Dato' Dollah Salleh kepada sripahangfc.com.my.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga skuad Presiden tewas pada perlawanan akhir selepas edisi 2002 dan 2014 sejak pertandingan diperkenalkan pada 1985 manakala skuad Belia pula kali pertama mara ke final.

Loading...