Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Pulihkan Kecergasan Pemain Fokus Utama Dollah Salleh

Last updated Thursday, Aug 04, 00:44

Memulihkan kecergasan pemain menjadi fokus utama pengendali pasukan, Dollah Salleh menjelang aksi genting Liga Super menentang Selangor pada Rabu. 

Beliau mengakui faktor kecergasan yang tidak optimum menjadi punca pemain mudah hilang fokus terutama apabila perlawanan menuju ke 10 atau 15 minit terakhir. 

"Fokus utama saya selepas ini ialah mempertingkatkan tahap kecergasan pemain yang dilihat kurang dan ia dapat disaksikan selepas beraksi 70 minit ketika berdepan Penang. 

"Ia secara tidak langsung menjejaskan fokus dan tempo permainan kita, dan membenarkan lawan untuk ambil kesempatan. Jika perkara ini kita dapat perbaiki dalam perlawanan seterusnya, tidak mustahil kita boleh bangkit dalam saingan liga,” katanya.

Sri Pahang akan berdepan Selangor dengan membawa misi untuk menoktahkan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan. 

Setelah menewaskan Skuad Projek FAM-MSN dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada 14 Mei, Sri Pahang seri 2-2 menentang Johor Darul Takzim dan kemudiannya tewas tiga aksi liga berturut-turut kepada Sabah, Negeri Sembilan dan Terengganu. 

Ia kemudian disusuli kekalahan terbaru di tangan Penang FC pada Sabtu lalu, walaupun pada satu ketika mendahului 2-0. 

“Saya berharap pemain tidak kecewa atau patah semangat kerana kita sudah tersingkir daripada Piala FA. Kita masih ada baki perlawanan liga untuk diharungi. 

“Kita perlu perbaiki kedudukan dalam liga untuk layak beraksi di Piala Malaysia. Jadi kita semua ada misi penting, kita sebolehnya tidak mahu lagi cicirkan mata. Saya minta semua pemain tetap turun dengan mentaliti mahu menang dalam semua perlawanan,” tambahnya.

Loading...