Last updated Wednesday, Sep 01, 15:20
Reaksi ketua jurulatih, Dollah Salleh selepas seri menentang Sabah FC
Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh berpuas hati dengan kualiti permainan keseluruhan ditunjukkan barisan pemainnya walaupun terlepas peluang untuk meraih tiga mata ketika menentang Sabah FC.
Sri Pahang begitu hampir untuk mencatat kemenangan ke atas Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, namun akhirnya terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 menerusi jaringan penyamaan saat akhir.
Dollah menyifatkan perlawanan telah berlangsung seimbang dan cukup rancak dengan kedua-dua pasukan saling menyerang dan mencipta peluang, cuma menurutnya kesilapan minit akhir tidak sepatutnya berlaku.
"Kita bermain dengan baik di separuh masa pertama, dalam 20 ke 25 minit yang pertama kemudian hilang tumpuan, giliran Sabah pula menyerang dan dapatkan gol pendahuluan.
"Kalau tengok, kedua-dua pasukan bermain mati-matian, masing-masing nak tiga mata, macam-macam berlaku, kita saling menyerang, perlawanan pun nampak seronok.
"Saya berpuas hati dengan permainan yang kita tunjukkan walaupun minit akhir kita buat satu kesilapan, sepatutnya benda ni tak berlaku, dah berapa perlawanan (berlaku) benda sama, tak silap saya tiga perlawanan, kesilapan sama, kecuaian, tak dapat bertahan.
->> Muat turun aplikasi SriPahangFc di Google Play Store dan App Store untuk tidak terlepas berita dan perkembangan terkini kelab.
"Sepatutnya pemain dah tahu (apa patut dibuat), saya sendiri dah nasihat, dah cakap semua duduk bawah jer, ia satu minit punya hal. Pemain kena ingat, dalam bolasepak jangan ambil mudah walau satu atau dua saat.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan di separuh masa pertama dan kemudiannya Sabah FC mendahului menerusi jaringan Josip Ivancic pada minit ke-58.
Baqiuddin Samsudin mengikat kedudukan 1-1 sepuluh minit kemudian.
Sri Pahang berjaya mendapat jaringan pendahuluan menerusi Abdul Malik Mat Ariff yang menewaskan Robson Rendy Rining di gawang Sabah FC pada minit ketiga masa kecederaan namun hajat mengutip tiga mata tidak kesampaian selepas Josip Ivancic merembat masuk dari jarak dekat seminit selepas itu.