Last updated Thursday, Apr 21, 23:23
Pemain tengah, David Rowley sedar perlawanan menentang bekas pasukannya, Penang FC, Sabtu ini akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar memandangkan kedua-dua pasukan masih kemarau kemenangan dalam Liga Super 2022.
SPFC setakat ini mengutip satu mata dalam tiga perlawanan hasil keputusan seri menentang PJ City manakala Penang FC pula tiga mata susulan tiga keputusan seri.
Justeru, dia tidak mahu pasukan berputih mata buat kali ketiga berturut-turut sambil menekankan bahawa dia dan rakan sepasukan sudah belajar daripada kekalahan kepada Melaka United minggu lalu.
"Kedua-dua pasukan dalam situasi terdesak bagi mencari kemenangan pertama pada musim ini dan saya jangkakan aksi sengit bakal terjadi di Darul Makmur.
"Saya masih menghormati Penang FC, yang merupakan bekas pasukan saya pada musim lalu dan mereka masih pasukan yang baik, dengan jurulatih (Thomas Trucha) yang baik.
"Namun, kami juga tidak mahu terlepas tiga mata di tempat sendiri sekali lagi dan mahu bangkit setelah tidak bernasib baik dalam beberapa perlawanan yang lalu.
"Jika menang, saya percaya ia mampu menjadi titik kebangkitan pasukan dalam Liga Super," tambahnya.
Rowley telah menjadi sandaran utama Gamel di barisan tengah Sri Pahang setakat ini di mana dia beraksi dalam kesebelasan utama dalam kesemua tiga perlawanan Liga Super, digandingkan bersama Nor Azam Azih.
Dia hanya tidak beraksi dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Manjung City.