Last updated Monday, Oct 18, 08:04
Setelah begitu lama hanya mampu memberi sokongan dan meminjamkan suara dari jauh, kini tiba masanya penyokong skuad tok gajah melepaskan rindu dan kembali menyemarakkan sokongan di Stadium Darul Makmur.
Bagi penyokong tegar bolasepak Pahang, Saifullah Suhaimi atau lebih sinonim dengan panggilan Chenko Salembe, dia mengharap keputusan Malaysian Football League memberi kebenaran kepada penyokong masuk ke stadium bagi baki saingan TM Piala Malaysia akan menjadi satu tonik untuk Sri Pahang bangkit selepas mengharungi musim yang mengecewakan.
“Terima kasih atas inisiatif MFL walaupun sedikit lewat, saingan Liga Super juga sudah berakhir, tapi Piala Malaysia satu pertandingan yang berprestij, jadi kita penyokong dapatlah melepaskan rindu, cium bau stadium.
“Walaupun kita telah tewas dua perlawanan pertama, saya masih optimis pasukan kita boleh melakukan keajaiban, sambil mengharapkan pasukan lain keciciran mata.
“Jadi saya berharap penyokong kita, moh turun ke stadium, memberi sokongan, peluang masih ada walaupun tipis, tetap ada. Bola itu bulat, macam-macam boleh terjadi.
“Mana tahu dalam 4 perlawanan terakhir dengan hadirnya penyokong ke stadium dapat merubah dan memberi satu semangat luar biasa kepada pemain. Jangan lupa kita belum bermain di tempat sendiri, jadi 3 daripada 4 perlawanan adalah di Darul Makmur, itu satu kelebihan juga bagi kita.
“Dan mana tahu, kita boleh menang kesemua 4 perlawanan berbaki, layak ke suku akhir, separuh akhir jadi jangan putus asa.
“Biasalah penyokong ada marah-marah, sebab tiada penyokong yang nak pasukan kesayangan kita Pahang ni kalah, semua sayang. Walaupun marah di media sosial, kecewa macam mana sekalipun sokongan kita tak berbelah bahgi.
“Saya akan turun ke stadium, dan saya harap penyokong lain pun sama. Laksanakan tugas kita sebagai penyokong, kita semarakkan semula, bangkitkan semula aura Stadium Darul Makmur.”
Selepas dua perlawanan, pasukan Sri Pahang belum meraih mata dan ketinggalan enam mata di belakang Sarawak United yang mendahului Kumpulan A.