Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

"Sebelum Ini Saya Stress, Sekarang Saya Boleh Senyum"

Last updated Friday, Aug 19, 18:21

Pengendali pasukan, Dato’ Dollah Salleh berpendapat kemenangan penting 3-2 yang dilakar ke atas Penang pada Khamis, sebagai meredakan sedikit ketegangan bermain di fikirannya susulan beberapa isu yang timbul sebelum perlawanan. 

Dua jaringan Steven Rodriguez dan satu oleh David Rowley membantu Sri Pahang mencatat kemenangan keempat dalam lima perlawanan sekaligus pulang dari tiga aksi berturut-turut di tempat lawan tanpa tewas dan masih belum tewas di pusingan kedua. 

Namun, ada cerita di sebaliknya yang dikongsikan Dollah sejurus selepas tamat perlawanan.

“Kita bermula dengan agak perlahan, dekat 20 minit juga kita bergelut, hantaran semua sangkut, tapi pertahanan kita cukup berdisiplin, itu yang melonjakkan motivasi pemain, mula dapat rentak dan dapat menjaringkan gol. 

“Bukan mudah sebenarnya untuk kita turun perlawanan ini, apatah lagi tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan dalam tempoh 10 hari. 

“Ada pemain import yang tidak dapat dapat bersama pasukan lebih awal misalnya Manuel Hidalgo baru sampai hampir jam 1 pagi semalam (Rabu) dan Andres Rodriguez yang ada urusan keluarga baru diterbangkan kelmarin (Selasa). 

“Kevin Ingreso tidak dapat diturunkan kerana COVID-19 manakala Shahrul Nizam pula denggi.

“Malahan saya sendiri sebenarnya dalam perjalanan ke Pulau Pinang sudah macam-macam berlaku, menantu masuk ke hospital untuk bersalin cucu kelima, dan ketika itu juga dua cucu saya pula masuk wad kerana wabak H1N1. 

"Jadi boleh dikatakan perjalanan kita dari Melaka agak sengsara dan mencabar tapi apa sekalipun saya tabik pemain masih tetap berdisiplin serta beri yang terbaik meskipun dalam keadaan keletihan dan kita semua bangga dengan semangat yang ditunjukkan,” ujar Dollah. 

Tambahnya, “Tugas saya sebenarnya menjadi lebih mudah, kerana dulu saya beban seorang, sekarang kita berempat. Saya, Fandi Ahmad, Datuk Hj Ahmad Yusof, Ahmad Shaharuddin Rosdi. Kita sentiasa berbincang tentang line up nak letak siapa dan pertukaran yang nak dibuat. 

“Sebab tu saya cakap dalam pasukan ini  bukan saya seorang, tetapi semua jurulatih main peranan. Kemenangan ini cukup membuatkan saya lega, sebelum ini saya agak tertekan, sekarang saya boleh senyum."

Loading...