Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

"Semua Perlu Terima Pujian Atas Peningkatan Ini, Bukan Saya Seorang"

Last updated Thursday, Aug 11, 14:39

Dato' Dollah Salleh tidak mahu dirinya dianggap sebagai x-factor di dalam peningkatan prestasi ditunjukkan barisan pemain sehingga berjaya melakar tiga kemenangan berturut-turut. 

Tiga perlawanan Liga Super di bawah kendalian beliau, Sri Pahang menang 2-0 masing-masing ke atas Selangor dan Kedah di laman sendiri, sebelum membenam cabaran PJ City 3-0 dalam aksi terbaru di Petaling Jaya. 

Menurut Dollah, beliau perlu berterima kasih dan memberikan kredit kepada semua pihak terutama Penasihat Teknikal pasukan Fandi Ahmad, barisan kejurulatihan dan kesemua pemain yang menunjukkan kemahuan serta keinginan untuk merubah nasib pasukan. 

“Saya tiada sentuhan magis. Ini semua adalah usaha bersama antara saya, Fandi Ahmad dan juga dua lagi jurulatih yang bergabung idea dan tenaga untuk memastikan pasukan ini kembali mantap.

“Fandi banyak memberikan idea dan kami juga menerapkan psikologi kepada para pemain. Teguran yang diberikan juga berbeza buat semua pemain.

"Kami juga melayan pemain sebagai kawan kerana keharmonian pasukan ini perlu ditingkatkan selepas pemain begitu kecewa sebelum ini.

“Tahniah kepada semua pemain kerana bermain seperti apa yang dirancang. Sebelum ini dua perlawanan dengan kemenangan namun hanya ada sedikit peningkatan tetapi malam ni benar-benar mengikut perancangan. Fandi banyak berkongsi idea dan akhirnya kita berjaya memerangkap PJ City,” ujar Dollah.

Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sri Pahang membuka jaringan menerusi Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-27 dan menggandakan kelebihan sebelum tamat separuh masa pertama menerusi tandukan cantik Steven Rodriguez. 

Pemain sayap, Manuel Hidalgo Gasparini melengkapkan kemenangan 3-0 menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Kallamulah Al-Hafiz, pada masa kecederaan. 

Dollah bagaimanapun sekali lagi mengingatkan kesemua pemain agar tidak terbuai dan cepat berpuas hati dengan prestasi semasa, supaya momentum kemenangan dapat dikekalkan. 

Sri Pahang selepas ini akan menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat pada 14 Ogos, sebelum bertandang ke Stadium Bandaraya untuk menentang Penang FC pada 18 Ogos.

Loading...