Last updated Monday, Aug 15, 21:54
Sumbangan dan impak besar dua pemain gantian ketika Sri Pahang bangkit mengikat Melaka United pada Ahad lalu, menerima pujian daripada pengendali pasukan Dato' Dollah Salleh.
Sri Pahang berjaya mencuri satu mata, apabila jaringan lewat permainan oleh David Rowley dan Shahrul Nizam Nadzir membantu pasukan bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menamatkan permainan dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Hang Jebat.
Malah, Shahrul Nizam yang masuk menggantikan Nor Azam Azih pada minit ke-83 turut menyumbang satu assist untuk gol pertama jaringan Rowley yang lebih awal masuk menggantikan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-57.
Ini sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah skuad tok gajah dalam saingan Liga Super di bawah kendalian Dato' Dollah kepada empat perlawanan.
“Saya akui permainan kita serba tidak menjadi sejak dari babak pertama hingga babak kedua. Para pemain kelihatan lesu namun mereka menunjukkan semangat untuk bangkit dan akhirnya perubahan berlaku beberapa pertukaran dilakukan.
“Saya beritahu para pemain ketika mesyuarat pasukan bahawa pemain simpanan perlu sentiasa bersedia dan nampaknya mereka menyahut cabaran dan memberikan tonik tambahan buat pasukan.
“Memang Melaka bermain lebih baik tetapi kita mengambil kesempatan atas kelekaan mereka. Beberapa pemain kita tidak menjadi dan seperti kehilangan arah. Saya berpuas hati meskipun bermain kurang baik dan gol pertama memberi kami satu suntikan untuk mencari gol kedua.
“Saya dan barisan kejurulatihan berbincang untuk melakukan pertukaran sejak dari minit ke-65 dan akhirnya melakukan perjudian untuk membuat pertukaran kerana sedar kita perlukan pemain yang lebih cergas dan hasilnya kita berjaya melakukan perubahan dan membawa pulang satu mata,” ujar Dollah.
Aksi seterusnya akan menyaksikan pasukan bertandang pula ke Stadium Bandaraya untuk menentang pasukan Penang FC pada 18 Ogos ini - ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Piala FA pada 23 Julai lalu, Sri Pahang tewas dengan jaringan 2-5 di Stadium Darulmakmur.