Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

SPFC Perkenal Dua Pemain Untuk Bawa Cabaran Di eMFL Liga Super 2022

Last updated Monday, Apr 18, 08:18

Sri Pahang FC berbesar hati mengumumkan dua pemain e-sports dari kelab Sweet Monster (SME) iaitu Fatah Hakimi Fadzil dan Izzat Zahari akan membawa cabaran pasukan di kejohanan liga bolasepak eletronik, eMFL Liga Super Malaysia 2022 yang membuka tirainya pada Selasa. 

Menurut pemilik SME yang turut bertindak sebagai pengurus kepada dua pemain itu, Amirul Syafiq Sukor, ini adalah kali pertama wakil dari kelabnya terpilih untuk mewakili Sri Pahang setelah melalui sesi pemilihan tertutup.

Justeru harapannya Fatah Hakimi yang lebih dikenali sebagai Mofatah dan Izzat yang dikenali sebagai Ejat akan dapat memanfaatkan pengalaman dan kepakaran mereka untuk memberi tentangan sengit kepada 17 pemain lain yang mengambil bahagian.

"Masing-masing sudahpun aktif dalam esport FIFA sejak 2018 dan mempunyai reputasi yang agak bagus dalam profesyen ini, ada ranking di Asia dan juga dunia. 

"Kita yakin mereka berdua ada kredibiliti untuk memberi cabaran serius dalam eMFL Liga Super ini. Kita berharap mereka boleh cuba sebaik mungkin untuk cabar kejuaraan apatah lagi ia menawarkan peluang mewakili Malaysia di kejohanan Piala Dunia FIFA di London pada Julai," kata Amirul.

Majlis memperkenalkan Mofatah dan Ejat telah diadakan di SPFC Lounge pada Sabtu lalu, disaksikan Pengerusi Raja Datuk Shaharudin Shah Raja Jalil Shah dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Suffian Awang.  


Baru-baru ini, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan kejohanan liga bola sepak elektronik, eMFL kembali membuka tirai buat tahun ketiga berturut-turut sejak diperkenalkan pada 2020.

Tahun ini, eMFL yang menjalin kerjasama dengan Gamesbond International, bakal menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM50,000.

Dua peringkat diadakan iaitu format liga dan kalah mati di mana format pemilihan pemain yang baharu, pasukan akan diberikan hak untuk memilih pemain melalui pemilihan terus atau melalui pusingan kelayakan.

Kejohanan kali ini menggunakan mod FIFA Ultimate Team dan format duo diadakan yang menyaksikan setiap pasukan akan menghantar dua pemain.

Satu slot pemain dari pasukan pemenang bakal layak bertanding di FGS Global Series Playoff dan kejohanan ini juga menyaksikan MFL menjadi satu-satunya yang memiliki liga elektronik dalam Asia Tenggara.

Loading...