Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Sri Pahang Bakal Pertaruh Skuad Muda Menentang JDT

Last updated Tuesday, May 17, 22:36

Skuad Sri Pahang yang bertandang ke Seri Iskandar untuk aksi menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim pada Rabu, bakal mempertaruhkan ramai pemain muda. 

Pengendali, Christophe Gamel berkata ini berikutan ketiadaan pemain-pemain utama yang masih belum pulih daripada kecederaan selain menjalani penggantungan perlawanan. 

Pemain sayap lincah Malik Mat Ariff menyertai dua pemain import iaitu Johan Martial dan Billy Ketkeophompone di bilik rawatan manakala Muslim Ahmad pula menjalani penggantungan kerana kad merah yang diterima ketika menentang Sarawak United. 

“Kita berdepan waktu yang sukar, bertemu pendahulu liga ketika mereka sedang berada pada kemuncak prestasi dan kita pula kehilangan pemain utama dalam masa sama sukar untuk mencari konsistensi. 

“Kamu boleh lihat sendiri apabila kita menang satu perlawanan, perlawanan seterusnya kita tewas atau cicirkan mata kerana kesilapan mudah. Jadi masalah utama saya sekarang adalah melihat siapa yang boleh bermain menentang JDT dan juga menguruskan konsistensi. 

“Saya perlu melihat siapa yang tinggal, kerana saya tidak mempunyai banyak pilihan. Jadi saya akan pergi ke sana dengan satu skuad muda. Anda telah pun tengok ramai pemain muda di bangku simpanan pada perlawanan lalu (menentang Skuad Projek FAM) dan jumlah itu akan bertambah lagi. 

“Saya perlu memberi kepercayaan kepada pemain muda, mereka akan belajar sama ada dengan cara yang baik mahupun sebaliknya saya tidak tahu tetapi semua tahu ini akan menjadi satu perlawanan yang sangat sukar tetapi tiada apa yang mustahil dalam bolasepak.

“Sebelum perlawanan bermula kita harus katakan peluang adalah 50-50, kita harap dapat terjemahkan satu perlawanan yang baik dan paling penting adalah penguasaan bola. Kita perlu turun dengan keyakinan dan meningkatkan permainan, ia adalah satu proses. 

“Tetapi sila ingat bahawa anda tidak boleh membandingkan sebuah pasukan yang telah muncul juara liga lapan kali dan bermain di ACL dengan sebuah pasukan yang terselamat daripada tersingkir musim lalu,” ujar Gamel kepada sripahangfc.com.my.

Sebagai rekod, pemain berusia 23 tahun, Hasnul Zaim Zafri diturunkan dalam kesebelasan utama ketika kemenangan 3-0 ke atas Skuad Projek FAM-MSN pada Sabtu lalu manakala pemain muda lain yang berada dalam senarai 18 pemain termasuklah Saiful Jamaluddin, Syaahir Saiful Nizam dan Amin Che Jusoh. 

Saiful Nizam Nadzir yang masuk sebagai pemain gantian pula mencuri tumpuan apabila meledak rembatan voli untuk gol ketiga Sri Pahang pada perlawanan itu. 

“Pemain-pemain mula faham apa yang saya mahukan daripada mereka, mereka meningkatkan tahap permainan di dalam mahupun luar padang. 

“Ini sebuah skuad muda dan baru, satu projek di dalam projek, berkembang menjadi lebih baik adalah satu proses dan kita telah mencapai satu tahap yang baik ketika ini dan perlu terus meningkatkan tahap kita untuk masa depan,” tambah Gamel.

Loading...