Sri Pahang FC umum kerjasama selama setahun bersama Infinity Nutritions Sdn. Bhd.
Last updated Wednesday, Sep 01, 13:03
Sri Pahang FC berbesar hati mengumumkan telah memeterai kerjasama selama setahun bersama Infinity Nutritions Sdn. Bhd, sebuah syarikat pembekal produk kesihatan tempatan.
Hadir pada sesi penyerahan ringkas penajaan tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian bin Awang serta ahli Lembaga Pengarah Sri Pahang dan Pengurus Pemasaran Infinity Nutritions Sdn Bhd, En. Rudhi Ritzmann Yuen.
Menerusi kerjasama ini Infinity Nutritions akan membekalkan sebanyak 200 tub supplemen berupa protein - Infinity Whey - bernilai keseluruhan RM46,000 untuk memantapkan kecergasan para pemain Sri Pahang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia.
"Pertama sekali kita nak ucapkan terima kasih kepada Infinity Nutritions yang tampil ke depan menaja Sri Pahang berupa supplement dalam bentuk protein untuk memantapkan lagi kondisi fizikal dan kecergasan pemain. Pihak pengurusan cukup gembira untuk mengumumkan kerjasama ini dan kita juga akan membantu memperomosikan penajaan dari syarikat yang disebut.
"Kita juga mengalu-alukan jika ada pihak-pihak yang sudi untuk bekerjasama atau menghulurkan tajaan, walaupun sedar pada ketika penularan Covid-19 ini ia situasi yang sukar. Sri Pahang berbesar hati membuka tangan menerima apa sahaja bentuk penajaan yang sesuai dan memberi manfaat kepada pasukan sepanjang saingan Liga Super yang mendatang ini," kata Datuk Suffian.
Sementara itu, En. Rudhi pula berterima kasih kepada kepercayaan Sri Pahang yang menjadikan Infinity Nutritions sebagai rakan penaja sekaligus memberikan platform untuk memperkenalkan produk mereka kepada umum.
"Apabila Sri Pahang menyatakan minat bekerjasama, kita tidak ada sebab untuk fikir panjang menyedari tiada platform yang lebih baik dari ini untuk memperkenalkan kelebihan dan kebaikan produk kita apatah lagi 'direction' Infinity Nutritions adalah kecergasan.
"Protein adalah asas kepada mana-mana sukan, dan kelebihan protein kita adalah kita menggunakan campuran pea protein (kacang) bersama-sama whey protein berbanding yang lain menggunakan soy protein. Ia boleh didapati dalam dua perisa," ujar Rudhi.
Dalam perkembangan lain, Datuk Suffian memberitahu status perlawanan persahabatan menentang Kelantan United dan Terengganu FC II yang dirancang Sri Pahang sebelum saingan Liga Malaysia kembali bersambung pada 24 Julai, terpaksa dibatalkan disebabkan penularan VOC Delta di Pahang.
"Seperti saya maklumkan memang kita merancang dua perlawanan tetapi bergantung kepada keputusan (MKN) dalam tempoh terdekat kerana seperti diketahui, peningkatan kes Covid-19 terlalu tinggi. Kita doakan situasi bertambah baik dan kes semakin berkurangan.
"Setakat ini pergerakan terbatas untuk meninggalkan Kuantan dan pergi ke tempat yang dilabel zon merah. Kalau nak main di tempat kita sekalipun rata-rata pasukan juga agak khuatir dan bimbang untuk rentas negeri dan mengadakan perlawanan persahabatan melainkan fasa tersebut dianggap selamat," ujar Datuk Suffian.
Beliau bagaimanapun memberitahu pasukan kendalian Dollah Salleh itu sudah ada perancangan lain jika perlawanan persahabatan tidak dapat diadakan.
"Tapi saya tidak fikir ia akan menjadi masalah, pendekatan kita, sebagai ganti, buat perlawanan sesama sendiri (sparring match) di antara pasukan A dan pasukan B. Kita ada 26 pemain, dan memang setiap hari kita buat latihan berbentuk sparring match untuk dapatkan match fitness," ujar beliau lagi.
Sri Pahang akan bertemu dengan Melaka United dalam aksi Liga Super yang kembali bersambung selepas lebih dua bulan berehat, pada 25 Julai depan di Stadium Darul Makmur.