Last updated Thursday, Mar 17, 16:38
Sri Pahang FC mengambil langkah serius dan cukup komited dalam usaha memastikan penularan wabak Covid-19 di dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan tidak berulang sekali lagi.
Bertempat di Stadium Darul Makmur pada Sabtu, telah berlangsung taklimat mengenai pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) kepada para pemain Sri Pahang membabitkan skuad senior, Piala Presiden dan Piala Belia, oleh doktor pasukan, Shah Rezal Sujit.
Beliau menekankan bukan sahaja pemain dan pegawai, malah ahli keluarga mereka turut mengutamakan keselamatan, mematuhi SOP dan patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila berada di luar, bagi memastikan tidak lagi berlaku kes jangkitan dalam skala besar.
Disebabkan oleh penularan Covid-19 di kem Sri Pahang membabitkan lebih 20 pemain dan pegawai pasukan baru-baru ini, perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC (5 Mac) dan Selangor FC (8 Mac) telah ditunda ke tarikh lain.
Turut ditunda adalah perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Manjung City FC yang dijadual berlangsung pada 13 Mac.
Pasukan telah menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari sepertimana ditetapkan oleh KKM, dan baru kembali menjalani latihan pada Khamis lalu.
Sementara itu, ketua jurulatih, Christophe Gamel kekal tenang dengan situasi yang melanda pasukan dan optimis ia tidak menjejaskan fokus dan mental pemain untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.
Walaupun mengakui perancangan sedikit terganggu apatah lagi prestasi pemain-pemain juga pastinya terjejas berikutan perlu menunggu lagi sebulan untuk turun ke padang, beliau berharap tempoh masa yang ada dapat digunakan sebaik mungkin untuk membentuk semula sebuah pasukan mantap dan bersemangat tinggi.