Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Sri Pahang Sudah Sedia Sepak Mula Liga Super 2022!

Last updated Tuesday, Apr 05, 16:23

Sri Pahang FC akan membuka kempen Liga Super musim baru pada Rabu ini, genap sebulan lebih lewat berbanding pasukan yang lain apabila bertandang ke Alor Star untuk berdepan pasukan Kedah Darul Aman FC. 

Seperti diketahui, kita sepatutnya turun menentang Terengganu FC pada 5 Mac lalu disusuli Selangor pada 8 Mac namun kedua-dua aksi ditunda gara-gara penularan Covid-19 di kem pasukan. 

Penjadualan semula perlawanan menyaksikan Sri Pahang terlebih dulu beraksi dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Manjung City pada 23 Mac lalu.  

Bagi ketua jurulatih, Christophe Gamel, beliau gembira keadaan kembali terkawal terutama membabitkan penularan Covid-19 dan mengakui pemain-pemain cukup teruja untuk akhirnya dapat menyepak mula musim baru Liga Super. 

“Sudah tentu ia sedikit mengecewakan apabila kita terpaksa menjalani kuarantin dan hanya mampu menjadi penonton pada minggu pembukaan Liga Super dan terpaksa bermula lebih lewat berbanding pasukan lain.

“Memang ia sedikit mengganggu perancangan tetapi akhirnya kami sudah bersedia untuk aksi sulung liga selepas terdahulu turun menentang pasukan M3 dalam Piala FA, semua menanti saat ini. 

“Ianya mengujakan melihat kepada karakter dan keghairahan di dalam pasukan, kekuatan mental yang ditunjukkan untuk menempuhi saat sukar dan bagaimana mereka memberi motivasi kepada diri sendiri untuk kekal fokus adalah sesuatu yang hebat. 

“Saya berharap aura positif di dalam pasukan dapat dikekalkan dan memastikan ia diterjemahkan di atas padang,” kata Gamel kepada sripahangfc.com.

Tatkala skuad tok gajah baru mahu membuka tirai liga, bagi KDAFC pula ia akan menjadi aksi ketiga setelah menewaskan Sarawak United (1-0) dan KL City (3-2) sebelum ini.  

“Kita sedar KDAFC adalah lawan yang sangat sukar apatah lagi bermain di hadapan penyokong sendiri. Persiapan mereka juga tidak begitu terganggu dan kini berada pada keyakinan yang baik setelah mencatat tiga kemenangan berturut-turut termasuk Piala FA.

“Yang penting, kita mahu mendapatkan keputusan positif dari perlawanan ini. Ia akan menjadi pemangkin kepada kita untuk mengharungi satu musim yang baik,” tambah Gamel.

Loading...