Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Swirad Tidak Mahu Kecewakan Penyokong Tok Gajah

Last updated Friday, May 13, 13:59

Kapten pasukan, Nick Swirad tekad memastikan momentum kemenangan dapat diteruskan apabila pasukan melayan kunjungan Sarawak United di Stadium Darulmakmur, pada Rabu. 

Sri Pahang setakat ini telah mencatat dua kemenangan dalam enam perlawanan tetapi belum pernah lagi menang perlawanan secara berturut-turut justeru pemain pertahanan itu berpendapat ini peluang terbaik untuk melakukannya mengambil kira Sarawak United sedang bergelut dengan prestasi.

Tanpa mahu merendahkan keupayaan pasukan kendalian B.Sathianathan itu, Swirad berkata beraksi di hadapan penyokong sendiri turut memberi sedikit kelebihan kepada Sri Pahang untuk meraih tiga mata.  

"Saya jangkakan satu perlawanan yang sengit walaupun kita semua tahu Sarawak United ketika ini di kedudukan kedua tercorot liga, mereka sudah tentu tidak mahu rekod buruk berterusan dan cuba untuk bangkit. 

“Saya sendiri ada menyaksikan beberapa perlawanan membabitkan Sarawak, mereka beraksi dengan baik cuma tidak bernasib baik jadi ia satu kesilapan jika kita ambil mudah atau bermain sambil lewa, ini ibarat ujian mental buat saya dan semua rakan sepasukan dalam terus konsisten. 

“Kita sebelum ini telah cicirkan banyak mata di laman sendiri, menentang PJ City, menentang Melaka, kita tidak boleh ulangi kesilapan sama dan perlu menang sebagai hadiah buat penyokong. 

“Kemenangan dengan KL City minggu lalu membuktikan pasukan ini boleh berikan saingan serta pemain-pemain sudah mula menunjukkan karakter tersendiri termasuk pemain muda, tetapi kita juga ada melakukan kesilapan yang saya rasa perlu dijadikan pengajaran,” kata Swirad. 

Sebagai rekod, ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Piala Malaysia musim lalu, Sarawak United yang ketika itu dibimbing E.Elavarasan menang kedua-dua perlawanan dengan keputusan 1-0 di Kuching dan 2-1 di Kuantan menerusi gol minit akhir.

Loading...