Last updated Sunday, Oct 16, 20:11
Dengan kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan pada Sabtu, tersingkaplah tirai Liga Super 2022.
Dengan 28 mata, ia memadai untuk Sri Pahang memintas kedudukan Kedah Darul Aman dan mengakhiri musim di kedudukan ketujuh, lantas memperbaiki pencapaian buruk berada di tangga kesepuluh semusim sebelumnya.
Ia mungkin tidak dilihat sebagai satu pencapaian besar oleh kebanyakan penyokong, namun bagi Dato' Dollah Salleh, beliau melihat kepada peningkatan yang berlaku apatah lagi diberi tanggungjawab untuk membimbing pasukan di pertengahan musim.
"Ketika saya ambil alih pasukan, kita berada di tangga kesembilan atau sepuluh. Ia bukan musim yang mudah, dengan pelbagai cabaran yang kita tempuhi, kita berjaya menamatkan saingan di tangga ketujuh dan ianya lebih baik dari musim lalu.
"Ia peningkatan kecil tetapi yang penting kita bergerak ke depan. Kita nampak proses itu ada dan kita jangan sesekali berhenti memperbaiki kelemahan," ujar Dollah.
Mengenai corak permainan dominan ditunjukkan ketika menewaskan Negeri Sembilan yang pernah menewaskan kita 3-0 di pusingan pertama, Dollah gembira pemain akhirnya menterjemahkan karakter sebenar mereka.
"Sebenarnya masa game lawan Sabah pun kita dah bermain dengan cukup baik, cuma kita melepaskan peluang jaringan dan buat kesilapan tidak sepatutnya pada minit akhir.
"Malam ini berbeza, pemain dah tahu, bila mereka jaring gol dengan sendirinya mereka jadi lebih bersemangat, malah ketika minit akhir walaupun berada dalam tekanan masih nampak berdisiplin. Samassa juga memainkan peranan penting, banyak selamatkan percubaan lawan," katanya.
Beliau juga memberi kredit kepada David Rowley yang mencuri tumpuan dengan dua jaringan pada minit ke-27 dan 47.
"Memang saya pun tak sangka dia boleh skor dua gol, dia dah lama tak training, sejak daripada perlawanan menentang Sarawak, kerana kecederaan buku lali.
"Semalam (Jumaat) baru mula turun balik latihan, itupun dia ambil painkiller (ubat tahan sakit) sebagainya untuk beraksi malam ini. Syukur dia dapat skor dua gol, malah hampir menjaringkan hatrik. Itu kelebihan dia, apabila kita bagi main dia jarang menghampakan," tambahnya.
Fokus Sri Pahang selepas ini adalah Piala Malaysia, dengan pasukan akan menentang Terengganu dalam aksi pusingan kedua.